Berhati-Hati dengan Rangkaian Sosial di Usia 40an

(Maklum Balas dari Pembaca)

Assalamualaikum,
Terima Kasih atas penulisan Dr. berkenaan fitnah dari laman web social terhadap lelaki 40 an. Ianya amat terkesan kepada saya kerana kisah tersebut hampir menyamai kisah saya. Malah saya rasa ramai lagi di luar sana yang mempunyai pengalaman yang hampir sama dengan saya. Biarlah saya ceritakan sedikit semoga menjadi iktibar bagi semua orang yang ingin mengambil pengajaran dari secubit kisah kehidupan berumahtangga.


Apabila memasuki usia 40 an, kata-kata “live begin at 40” sentiasa menjadi ingatan kepada saya dan saya juga sentiasa mengingatkan suami. Maklumlah ketika ini anak-anak sudah semakin besar, pekerjaan telah stabil dengan jawatan dan pangkat yang memuaskan. Pendapatan pun agak tinggi. Boleh dikatakan kehidupan agak lengkap dengan rumah yang selesa, kenderaan yang baik, telah menunaikan rukun Islam ke lima dan mampu bercuti bersama keluarga sama ada dalam negeri mau pun luar negeri. Kami juga tidak dibebani oleh hutang-hutang kecuali pinjaman perumahan dan kereta. Alhamdulillah. Saya juga tidak bimbang dengan suami kerana dia tidak keluar malam bersama-sama rakan-rakannya kecuali ke surau, kelas pengajian atau membuat aktiviti kebajikan. Banyak masa lapang dihabiskan membuat kerja-kerja kebajikan dan berkebun sebagai hobinya. Malah sejak-akhir-akhir ini dia lebih banyak berdampingan dengan ulama-ulama mengikut pengajian agama, kelas hafazan al quran dan sebok dengan aktiviti keagamaan. Jadi dia memang tidak ada masa langsung untuk melepak-lepak. Suami saya juga bukan kaki bola dan bukan kaki wayang. Jadi amat jarang dia melepak depan tv. Maknanya kalau tv rosak pun di rumah kami, bukanlah satu masalah. Cumanya, kami seleluarga ; saya, suami dan anak-anak semuanya celik IT. Komputer dan internet mesti ada! Di sinilah kisah bermula….


Seperti orang lain apabila menyertai laman web social, mulalah mencari rakan-rakan lama. Namanya pun dah lama web social yang bertujuan menyatukan semula rakan lama yang terpisah. Begitu juga suami saya, tanpa disedari dengan sengaja tergatal tangan mencari kenalan lama dizaman sekolah menengah yang telah berlalu hampir 30 tahun lalu. Maka dengan sengaja dia bertembung dengan gf lamanya itu. Melalui laman web social inilah bermulanya episode kedua percintaan mereka. Sebenarnya wanita itu bukanlah satu sekolah dengan suami saya. Tetapi masing-masing saling intai mengintai, jelling menjeling dan masing-masing memendam rasa. Tidak pernah pun mereka berjumpa dan bercakap secara berdepan, mungkin bahasa mata dan bahasa badan dari jauh sudah cukup menunjukkan hati mereka saling terpaut. Selepas tamat persekolahan, surat menyurat menjadi penghubung mereka. Gambar menjadi tatapan mereka melepas rindu. Tetapi malangnya, wanita tersebut agak tidak sabar, ketika suami saya masih di menuntut di sebuah institute pengajian tinggi, wanita tersebut mengajak suami saya berkahwin. Kedua orang tua suami tidak bersetuju, dan akhirnya perhubungan mereka terputus begitu sahaja.


Apabila dan lelaki dan wanita berdua-duaan maka ditengahnya adalah syaitan. Apabila seorang lelaki yang telah berpengalaman, dan seorang wanita juga yang telah berpengalama saling bercatting dan bermasej, maka tentulah ditengahnya juga adalah syaitan senior berpengalaman. Atas platform tazkirah, mereka saling bermesej, malah kalau satu hari tidak menerima masej, masing-masing akan gelisah. Di celah-celah masej tersebut, sedikit kisah mereka zaman remaja, sedikit luahan rasa rindu dendam, sedikit luahan hati mengenai cinta yang tidak kesampaian. Hati masing-masing kembang berbunga, maklumlah cinta lama kembali berbunga! Kelakuan suami saya juga ada sedikit berbeza, tanpa disedari. Saya yang telah hidup bersama lebih 20 tahun memang boleh perasan sangat. Kalau dirumah, pantang ada masa free, dia cepat-cepat bukak laman web social , tak bagi orang lain tengok dan ada password rahsia. Keadaan dia pun masa tu macam orang tidak berdiri atas realiti, saya bercakap pun kena dua tiga kali baru dia faham, minta tolong lain, buat lain, suruh beli lain, beli benda lain, macam orang berangan…., maklumlah orang sedang bercinta!


Sebenarnya dengan kuasa Allah, saya menyedari perhubungan mereka ini. Saya membaca kesemua mesej mereka. Tapi saya diamkan, nak tengok sejauh mana lakonan suami saya. Tetapi ketika berbual-bual saya sering ceritakan keburukan laman web social ni, kisah keruntuhan rumahtangga akibat bercinta melalui maya, kisah kehidupan usia 40 an yang penuh dugaaan, kisah percintaan antara suami orang dan isteri orang. Walau bagaimana pun, dia masih tidak perasan yang saya tahu rahsia percintaan maya dia. Malah siap boleh pertahankan kelebihan laman web social. Saya juga seringkali menegurnya yang dia seolah-olah dalam dunia khayalan….. Tapi dia bagi alasan banyak kerja dan tugasan yang terpaksa difikirkan.


Semakin hari saya dapati mesej mereka semakin hanyut di alam maya. Saya bayangkan kalaulah rakan-rakan sekerja, rakan-rakan jemaah surau, anak-anak, adik beradik dan ipar duai membaca mesej tersebut, apa akan jadi dengan suami saya. Saya takut suami saya terjerumus ke zina hati dengan isteri orang walau pun melalui alam maya. Mula-mula mesej internet, chatting, kemudian sms, kemudian bersembang di telefon, kemudian…. Bayangkan pulak kalau suami wanita tersebut tahu, dia datang ke rumah kami untuk bergaduh dan didengari oleh jiran-jiran. Atau suami wanita tersebut buat heboh kat blog ke, laman social dia ke…. Takutnya saya. Sedangkan suami saya seorang yang berpelajaran, berpangkat, berilmu, warak, berkhlak dan dihormati oleh kaum keluarga, jiran-jiran dan rakan sekerja! Saya takut dan berfikir macam-macam hingga saya jatuh sakit. Ketika sakit itu, saya bermunajat, berfikir dan mencari kekuatan bagi menyelamatkan suami saya. Akhirnya saya mendapat kekuatan untuk menegur suami saya melalui email. Saya tahu saya tak mampu untuk berkata-kata secara lisan. Saya menggunakan ayat-ayat yang tidak menyinggung perasaan atau merendahkan maruah dia, tetapi lebih kepada tazkirah supaya dia membuat muhasabah. Akhirnya saya memberi dia tiga pilihan supaya dia berfikir :
“Pertama: macam sekarang abang teruskan perbubungan masej dua tiga kali sehari, disamping sembang lagi dan tatap gambar untuk hilang rindu atas platform silaturrahim dan tazkirah dengan isteri orang tanpa pengetahuan dan izin suaminya!. Tapi ingatlah, bila lelaki dan wanita berdua, syaitan ditengah.
Kedua : abang buat secara jantan, jumpalah suami dia, mintalah wanita itu dengan jujur adalah lebih baik dari dia menduakan suaminya di dalam hati.. Abang akan runtuhkan dua masjid yang sedang makmur untuk buat satu masjid….
Ketiga : abang buat cara seorang suami yang setia dan seorang ayah ikhlas. Putuskan hubungan dengan satu perempuan untuk satu wanita dan anak-anak abang yang telah bertahun-tahun melalui kehidupan bersama abang. Senang aje, deletekan semua mesej, sms, email dan gambar. Jangan buka email atau apa-apa mesej dari nya. jangan tatap gambar dia - deletekan semuanya dari memori abang.
Buatlah pilihan dengan rasional.”


Alhamdulillah, suami saya membuat pilihan ketiga. Rumahtangga kami selamat.
Sedikit lagi ingin saya coretkan. Saya berkahwin dengan suami dulu bukan atas dasar cinta cintun. Tapi atas dasar menjaga syariah. Apabila cukup syarat, dan ada lelaki yang baik dan beriman datang melamar, wajib menerima. Selepas berkahwin barulah saya belajar mencintai suami saya. Tapi biasa saja, tak pernahlah rindu dendam atau cinta yang berkobar-kobar untuk suami, tak adalah perasaan macam kisah laila majun ke…, hinnga sanggup tinggalkan keluarga atau bekorban apa saja demi kekasih. Kehidupan kami seperti biasa macam pasangan suami isteri lain, kadang-kadang bertekak, merajuk… kemudian berbaik… bergurau….


Tetapi selepas kisah rumah tangga kami dicuit sedikit dengan penangan laman web social, paradigm saya tentang cinta mula berubah. Selepas usia 40an dan berkahwin lebih 20 tahun, baru saya merasa kehangatan bercinta. Baru saya terasa rindunya pada suami apabila berpisah ke tempat kerja. Malah setiap hari di pejabat tertunggu-tunggu sms atau panggilan dari suami. Mungkin begitu juga suami saya, dia lebih ikhlas terhadap anak-anak dan isteri. Setiap pagi sebelum berpisah ke pejabat masing-masing dia akan mencium pipi saya di depan anak-anak. Pastinya saya rasanya kehidupan bersuami isteri kini lebih bahagia.
Kepada pembaca-pembaca, berwaspada lah apabila kita melepasi usia 40an. Lagi senior usia kita, maka lagi senior lah syaitan yang datang menggoda kita! Lagi tinggi pangkat kita, lagi tinggi pangkat syaitan yang datang. Jadi ilmu agama perlu ditingkatkan dan amalan kita juga sewajarnya kita gandakan sebagai perisai hidup kita.

Wassalam
Isteri, ibu & pendakwah

KEMBALI KE TOPIK ASAL