Berhati-Hati dengan Rangkaian Sosial di Usia 40an

Saya diminta pandangan tentang masalah seorang guru yang yang telah terpedaya melalui perhubungan dengan rakan siber melalui FaceBook. Guru tersebut adalah seorang wanita yang belum berkahwin. Sejak kebelakangan ini ia sering berhubung dengan seorang rakan kenalan berbangsa Inggeris melalui FB. Suatu hari rakan lelaki berbangsa Inggeris tersebut meminta beliau pergi ke satu pautan di laman web tertentu. Beliau pun melayari laman web tersebut, Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapat di dalam laman tersebut dipaparkan dirinya dalam keadaan dan adengan yang tidak senonoh...Tentunya keadaan tersebut telah membuatkan ia menangis sehingga kering air mata. Bagaimana kalau imej tersebut dilihat oleh ahli keluarganya, rakan-rakannya dan para pelajarnya....Sedangkan sebenarnya ia tidak pernah melakukan perkara-perkara seperti itu. Melalui teknologi terkini terdapat pelbagai perisian dan teknik tertentu gambar atau imej boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu yang tidak bertanggung jawab. Sebenarnya saya juga tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut kerana untuk melihatnya pun rasanya saya tidak sanggup. Hanya orang yang menghantar bahan tersebut yang boleh membuangnya (delete). Itu pun sekiranya belum tersebar di laman-laman lain. Ini adalah antara ratusan kisah akibat kurang berhati-hati di dalam menjalinkan perhubungan dan keghairahan bertukar-tukar atau berkongsi gambar peribadi melalui rangkaian sosial seperti FaceBook.

Mungkin kita pernah mendengar cerita-cerita yang seumpamanya sebelum ini. Ada kisah seorang guru sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam Facebook.

Laman sosial seperti Facebook didapat menjadi antara punca kepada beberapa kes penceraian di negara ini. Seorang Peguam Syarie Jabatan Bantuan Guaman Kuching, pernah melaporkan terdapat dua kes perceraian gara-gara Facebook di Bintulu serta satu kes lagi di Kuching. Pernah diceritakan kepada saya satu pasangan suami isteri yang baik dan berlatar belakangkan pendidikan agama juga akhirnya tewas dan bercerai berai akibat dengan perhubungan secara maya. Jikalau mereka yang ada pegangan agama yang baik pun tewas bagaimana jika mereka longgar pegangan agamanya. Sebenarnya cerita-cerita seperti ini sudah menjadi lumrah. Seperti laporang kajian yang telah dijalankan oleh American Academy of Matrimonial Lawyers, satu dari lima perceraian di Amerika Serikat adalah disebabkan oleh jejaring sosial Facebook. Ini tidak mustahil juga akan berlaku di dalam masyarakat kita jika kita kurang berhati-hati.

Mereka yang baru menggunakan rangkain sosial tentunya terlalu ghairah untuk mencari teman-teman lama, sama ada semasa di sekolah, kolej atau universiti dengan pelbagai tujuan. Tidak terkecuali menghubungi rakan-rakan lama yang belainan jantina. Apatah lagi jika rakan tersebut agak istimewa atau pernah ada perhubungan yang agak rapat pada suatu masa dahulu. Pada peringkat awal hanya sekadar ingin mengetahui perkembangan hidup rakan tersebut. Di sinilah segalanya bermula, kerana fitnah di alam maya adalah lebih bahaya berbanding di alam sebenar. Kerana ketika berada di alam maya sendirian sebenarnya musuh kita yang paling utama iaitu "syaitan" akan berusaha untuk menyesatkan kita seperti janjinya di dalam Surah an-Nur ayat 21.

"Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh pada kesumbangan dan mungkar"

Kita tidak dapat melihat musuh kita itu (syaitan) tetapi mereka sentiasa melihat kita sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 27.

" Sesunggugnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka"

Berbalik kepada perhubungan antara lelaki dan wanita secara maya melalui ruangan siber, berdasarkan pengalaman yang diceritakan kepada saya ianya akan bermula dengan perkara yang baik-baik seperti membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan profesion, masalah agama, isu-isu semasa, dan nasihat menasihati. Akhirnya sedikit demi sedikit akan membawa kepada senda gurau dan akhirnya akan membincangkan soal hati dan perasaan. Di sinilah akan bermulanya segala masalah.

Tidak dinafikan zaman remaja atau dalam psikologi Islam disebut zaman berkhayal, setiap orang yang normal sama ada lelaki atau perempuan mempunyai perasaan terhadap jantina yang berbeza. Mereka tertarik kepada seseorang yang dirasakan istimewa kerana pada pandangannya orang tersebut mempunyai kelebihan atau keistemawaan tertentu. Walaupun mungkin sebenarnya orang yang kita minati itu tidak sebaik yang disangkakan. Wauallahu'alam... Ada sebahagiannya apa yang dirasai dapat disampaikan kepada ampunya diri, dan sebahagiannya tidak dapat disampaikan sehinggalah masa berlalu dan dipisahkan oleh waktu. Sebahagiannya dapat disampaikan dapat berhubung dan dengan takdir Allah akhirnya berpisah juga. Hanya sebahagian kecil hubungan cinta di zaman remaja berakhir dengan perkahwinan.

Kini kita berada di zaman ICC (internet cloud computing) dan boleh dikatakan setiap orang termasuk anak-anak kecil mampu memuatnaik pelbagai maklumat, gambar, video dan data-data ke internet sehingga menjadi seperti awan yang sangat tebal (pangkalan data yang sangat besar). Sehingga apa sahaja yang kita hendak cari kita akan mencarinya dan menjumpainya dengan menaipkan sahaja perkataan atau menaipkan nama orang yang kita cari. Sekiranya orang yang kita cari adalah menjadi sebahagian dari ahli komuniti ruang rangkaian sosial, maka dengan secepat kilat kita akan dapat berhubung dengannya. Mereka yang telah berpuluh-pulah tahun terpisah akhirnya dapat ditemui semula di alam maya. Bermula dengan rasa kagum dengan pencapaian yang telah diperolehi oleh diri masing-masing, diikuti dengan puji-pujian akhirnya kepada luahan rasa yang tidak kesampaian selama ini. Mencari sebab musabab kepada perpisahan dan akhirnya timbul rasa kesihan rindu dan sebagainya. Sedangkan kebanyakkan pasangan rakan siber tersebut adalah terdiri daripada isteri dan suami orang.

Sebagai orang yang beriman apa sahaja yang kita hendak lakukan perlulah merujuk kepada batas-batas dan adab-adab pergaulan di dalam Islam. Sama sahaja sama ada di alam sebenar atau alam maya kita tidak seharusnya berdua-duaan dengan lelaki atau wanita yang bukan muhrim sama ada berchating atau berbalas-balas mesej tanpa ada tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Jika perkara-perkara yang dibincangkan tidak terhitung sebagai syahwat atau mendatangkan fitnah maka hukumnya adalah harus sebagaimana diharuskan bercakap dengan tujuan jual beli atau seumpamanya. (sumber, http://halaqah.net). Oleh itu berbincang secara maya hendaklah menjaga batas-batas tersebut agar tidak melanggar apa yg dilarang kerana tanpa beringat akan mudah terbabas kepada perkara yang dilarang seperti memenuhi bisikan hawa nafsu semata-mata dan berdosa.

Sekiranya perbincangan antara lelaki dan wanita, telah jelas menjurus kepada senda gurau dan membincangkan soal hati dan perasaan maka ia sebenarnya sudah termasuk kepada perkara yang dilarang oleh agama dan sedang menjurus kepada fitnah yang besar. Apatah lagi sekiranya seorang lelaki tersebut sedang berchating dengan isteri orang tanpa pengetahuan suaminya. Begitu juga seorang wanita berchating dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya sudah pastinya kedua-duanya akan mengundang kepada fitnah, dosa dan wajib dihindari.

Kepada sahabat-sahabat yang telah berusia 40an yang pernah diuji dengan masalah yang saya paparkan, marilah kita bermusahabah diri. Ada rakan yang mengatakan bahawa inilah peluang untuk kita menyampaikan dakwah. Saya setuju, tetapi perlu sangat berhati-hati, kerana dibimbangi akhirnya menggunakan nama Islam sebagai matlamat peribadi. Ada yang menggunakan tiket laman sosial, chatting dan sebagainya untuk jalan dakwah...kerana iblis juga akan sentiasa mencari ruang untuk memesongkan diri anda ke jalan yg tidak baik. Kita harus selalu ingat pesanan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang maksudnya,

“Tidaklah kutinggalkan suatu ujian yang lebih berat bagi laki-laki melebihi wanita” (HR Bukhari dan Muslim dari Usamah bin Zaid).

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda lagi,

“Sesungguhnya awal kebinasaan Bani Israil adalah disebabkan masalah wanita” (HR Muslim dari Abu Sa’id Al Khudry).

Gunakanlah kemudahan ICC untuk tujuan dakwah dan menyampaikan pandangan serta ilmu yang berguna serta ikhlas kerana Allah SWT. Peliharalah amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT dengan sebaik mungkin kerana kita pasti akan ditanya tentang segala yang diamanahkan kepada kita. Mudah-mudahan peringatan ini bermanfaat kepada saya dan semua. Waallahu'alam.


Saya mendapat maklum balas dari pembaca melalui email yang dikirim berkaitan dengan topik ini. Rasanya tidak salah untuk dikongsi dengan pembaca yang lain setelah mendapat keizinan daripada pengirimnya. Kerana tidak mengaibkan sesiapa pun....dan ia merupakan fenomena yang banyak diperkatakan waktu ini...Mudah-mudahan menjadi iktibar kepada orang lain di luar sana..

Assalamualaikum,
Terima Kasih atas penulisan Dr. berkenaan fitnah dari laman web social terhadap lelaki 40 an. Ianya amat terkesan kepada saya kerana kisah tersebut hampir menyamai kisah saya. Malah saya rasa ramai lagi di luar sana yang mempunyai pengalaman yang hampir sama dengan saya. Biarlah saya ceritakan sedikit semoga menjadi iktibar bagi semua orang yang ingin mengambil pengajaran dari secubit kisah kehidupan berumahtangga.


Apabila memasuki usia 40 an, kata-kata “live begin at 40” sentiasa menjadi ingatan kepada saya dan saya juga sentiasa mengingatkan suami. Maklumlah ketika ini anak-anak sudah semakin besar, pekerjaan telah stabil dengan jawatan dan pangkat yang memuaskan. Pendapatan pun agak tinggi. Boleh dikatakan kehidupan agak lengkap dengan rumah yang selesa, kenderaan yang baik, telah menunaikan rukun Islam ke lima dan mampu bercuti bersama keluarga sama ada dalam negeri mau pun luar negeri. Kami juga tidak dibebani oleh hutang-hutang kecuali pinjaman perumahan dan kereta. Alhamdulillah. Saya juga tidak bimbang dengan suami kerana dia tidak keluar malam bersama-sama rakan-rakannya kecuali ke surau, kelas pengajian atau membuat aktiviti kebajikan. Banyak masa lapang dihabiskan membuat kerja-kerja kebajikan dan berkebun sebagai hobinya. Malah sejak-akhir-akhir ini dia lebih banyak berdampingan dengan ulama-ulama mengikut pengajian agama, kelas hafazan al quran dan sebok dengan aktiviti keagamaan. Jadi dia memang tidak ada masa langsung untuk melepak-lepak. Suami saya juga bukan kaki bola dan bukan kaki wayang. Jadi amat jarang dia melepak depan tv. Maknanya kalau tv rosak pun di rumah kami, bukanlah satu masalah. Cumanya, kami seleluarga ; saya, suami dan anak-anak semuanya celik IT. Komputer dan internet mesti ada! Di sinilah kisah bermula…. SILA KLIK UNTUK MEMBACA KISAH SETERUSNYA