home
profil
kertaskerja
artikal
sumber
galeri
album
catatan
tazkirah
pautan

 

 

XPDC AL-MUTTAQIN - Penang-Bangkok-Kamboja

Catatan kembara ini ialah pengalamanku bersama anggota XPDC Al-Muttaqin yang merentasi negara Thailand sebelum masuk ke negara Kemboja yang jaraknya lebih 2,000 KM melalui jalan darat. Aku telah diberi amanah oleh JK surau Al-Muttaqin untuk menyiapkan satu kertas kerja bagi merialisasikan kembara ke Kemboja ini menjadi kenyataan. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan maklumat yg telah diberikan oleh Tn. Hj. Satar (seorang sukarelawan yang telah mempunyai pengalaman lebih 12 tahun berulang alik ke Kemboja) akhirnya kertas kerja dan dana dalam bentuk kewangan dan barangan telah dapat dikumpul. Tuan Fairul juga banyak membantu dalam menyediakan peta serta anggaran masa perjalanan XPDC.

Di antara matlamat kembara ini ialah untuk; i) Menyemarakkan lagi aktiviti surau serta syiar Islam di peringkat antara bangsa demi mencari keredhaan Allah SWT. ii) Menyemarakkan program ziarah yang merupakan antara tulang belakang kekuatan umat Islam. iii) Memupuk semangat berkorban kerana Allah SWT di kalangan ahli XPDC. iv) Pengorbanan dalam bentuk masa, tenaga dan kewangan. v) Memupuk sikap perihatin di kalangan umat Islam tempatan terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara Islam di negara lain, kerana Allah akan membantu hambanya selagi hambanya itu membantu akan saudara-saudaranya.

Kembara ini adalah lanjutan daripada Tabung Bantuan Kemboja yang telah dilancarkan oleh Surau Al-Muttaqin untuk disalurkan kepada sekolah fardhu ain yang telah dikendalikan oleh Ustaz Syukri yang terletak di Kampung Perek Sendai, Daerah Chelung Kerachih Kemboja. Ustaz Syukri adalah penduduk tempatan kampung tersebut dan pernah belajar di Pondok Penanti Bukit Mertajam dan sekarang telah kembali semula ke kampung asal untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat Kemboja. Kampung Perek Sindai dikatakan agak jarang dikunjungi sukarelawan dari Malaysia yang sering menghantar bantuan ke Kemboja.

XPDC Al-Muttaqin sejauh lebih 4,250 KM pergi dan balik selama 7 hari perjalanan

Alhamdulillah, aku bersama 22 orang anggota XPDC Al-Muttaqin (Konvoi Penang-Bangkok-Kamboja) telah bergerak memulakan perjalanan pada 20 Januari 2012 jam 8.33 malam menaiki lima kenderaan menuju sempadan Thailand melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam. Semua kos pengangkutan tempat tinggal dan makan minum sepanjang pengembaraan adalah ditanggung sendiri oleh peserta XPDC. Pelbagai barangan termasuk pakaian, dan naskah Al-Quran kami bawa bersama. Sebahagian barangan yang disampaikan oleh masyarakat setempat masih tidak dapat kami bawa semuanya kerana kenderaan telah penuh. Ekxpedisi kali ini telah diketuai oleh Pengerusi Surau, Prof. Dr Md Roslan dan Tn. Hj Satar sebagai juru pandu XPDC. Antara pesert XPDC yang lain ialah Tn Hj Redzual (Setiausaha), En. Jamaludin (Bendahari), Tn Hj Jalil (Ketua JK Pengangkutan), En. Basir (Ketua JK Pembangunan), Tn Hj Hamid (Ketua Tukang Masak), En. Zainal (Bilal)l, Tn. Hj. Ibrahim Ahmad (Imam), Ust Sofie, En. Amer Shoid (Pak Tam – siak), , En. Ridzuan (Wan Kenopi) serta sahabat-sahabat dari tempat lain yg turut berminat menyertai expedisi kali ini. Ustaz Nazim Al-Hafiz dari Pusat Tahfiz Ibnu Sina serta dua orang pelajar yang telah hafaz 30 juzu' Al-Quran juga turut serta dalam XPDC ini. Mereka ialah Abdul Aziz dan Badrul Hisham yang merupakan peserta paling muda dalam XPDC ini. Peserta lain ialah Tn.Ghazali (Pematang Pauh). Hj. Razali (Petronasa Tasik Gelugor), Tuan Azraie (Sik), dan Cikgu Megat Mawardi (Sungai Petani). Sementara itu Prof. Madya Omar Majid (USM) telah menaiki pesawat dan akan bersama XPDC kami di Phnom Penh.

Bertolak dari Surau Al-Muttaqin 8.30 malam . Bacaan doa oleh Ustaz Faisol Aceh

Pertengahan jalan dari Danok ke Bangkok

Kami harus melepasi sempadan Malaysia-Thailand sebelum jam 12.00 malam, kerana selepas waktu itu sempadan akan ditutup. Alhamdulillah kami telah sampai ke sempadan lebih kurang jam 11.00 malam. Walaupuan kenderaan yang dipandu oleh Ustaz Nazim telah menghadapi masalah, tetapi telah dapat diatasi. Lebih kurang 30 minit berurusan di kedua-dua pusat imegresen (Malaysia dan Thailand) kami telah masuk ke Danok di sebelah Thailand. Kami berhenti rehat untuk mengisi perut yang telah mula lapar di sebuah gerai di tepi jalan. Lebih kurang jam 2.00 pagi XPDC diteruskan dan singgah di sebuah masjid di Sadao (Masjid Al-Huda) untuk solat Isya'. Selepas solat Isya' perjalanan diteruskan lagi menuju Patalong. Dalam kegelapan malam akhirnya kami terpisah kerana kelajuan yang tidak sama. Perhubungan menggunakan telifon semakin sukar kerana hanya beberapa orang sahaja yang telifon bimbit boleh digunakan. Walkie Talkie juga sudah mula kehabisan bateri dan sukar berhubung untuk jarak lebih daripad lima kilometer. Kami membuat keputusan untuk berhenti di sebuah stesyen minyak bagi menambah minyak dan berehat sebentar, sambil menunggu dua lagi kenderaan yang dipandu oleh Hj. Jalil dan Tn. Ghazali yang telah terpisah daripada kumpulan. Malangnya kedua-dua kereta tersebut tidak menyedari kenderaan kami dan terlepas ke hadapan. Tetapi alhamdulillah aku masih dapat berhubung dengan Tn. Jamaludin yang menaiki kereta Tn. Ghazali untuk memberi panduan agar dapat menuju ke tempat kami berhenti. Apabila dapat berkumpul semula, timbul sedikit kekeliruan antara kami. Tuan Hj. Satar mencadangkan supaya perjalanan diteruskan sekiranya ingin sampai di Bangkok menjelang waktu Zohor. Namun sebahagian mahu berhenti rehat kerana sudah sangat mengantuk. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidur di dalam kenderaan sehingga menjelang subuh. Selepas solat subuh di sebuah surau kami meneruskan perjalanan dan hanya berhenti untuk bersarapan pada jam 9.30 pagi di sebuah restoren makanan Islam. Perjalanan diteruskan lagi dan hanya berhenti lebih kurang dua jam untuk berehat solat jama' zohor dan asyar serta makan di sebuah gerai Islam di dalam perjalanan menuju Bangkok. Menjelang 12.00 malam barulah kami sampai di Kota Bangkok. Pada mulanya kami tidak merancang untuk masuk ke Kota Bangkok kerana untuk mengelakkan kesesakan. tetapi oleh kerana kami sudah sangat mengantuk dan lapar akhirnya kami bersetuju untuk berehat di Bangkok. Keadaan jalan raya sangat sesak, menyebabkan XPDX kami beberapa kali tersesat sebelum berjumpa bangunan restoran arab yang dicari-cari. Ada beberapa anggota XPDC yang agak kurang sabar dan mula meluahkan rasa tidak puas hati...mungkin sangat letih kerana setakat ini kami telah menempuh lebih kurang 1,150 KM perjalanan.

Ketika berada di Bangkok

Malam tersebut kami solat berjamaah dan menjamu selera di Restoren Sarazad Bangkok. Suraunya agak luas dan terletak di bahagian atas restoren. Surau ini juga digunakan untuk solat Jumaat. Makanan malam itu agak istimewa iaitu makanan arab. Malam itu kami tidur di sebuah hotel di Bangkok. Selepas solat subuh, bersarapan, membuat sedikit senaman sebelum meneruskan perjalanan. Dr. Roslan dan Hj. Satar memberi kata semangat kepada anggota XPDC. Akhirnya kami sudah mula tersenyum, dan bersemangat kembali selepas agak tegang malam sebelumnya. Perjalanan akan diteruskan lagi menuju sempadan Thailand-Kemboja iaitu Koh Kong. Jarak perjalanan dari Bangkok ke Koh Kong lebih kurang 420 KM melalui jalan yang agak sibuk dan banyak lampu isyarat.. Sampai di sempadan Kemboja lebih kurang jam 2..30 tengah hari. Selepas beurusan di pusat imgresen di kedua-dua negara yang agak lama akhirnya kami sampai ke Pekan Koh Kong. Ia sebuah pekan pertama yang kami temui selepas masuk ke Kemboja. Keadaannya seperti di pekan di negara kita dalam tahun 70 an dahulu. Gerai-gerainya dibina ala kadar. Masih lagi memasak menggunakan kayu atau arang.

Kami telah singgah di sebuah masjid di Pekan Koh Kong. Sebahagian pembangunan masjid ini adalah melalui sumbangan daripada rakyat Malaysia. Masjidnya agak cantik dan dibina menggunakan batu serta lantainya dipasang tail. Hj. Satar adalah antara sukarelawan yang sering membawa sumbangan dari Malaysia untuk disampaikan kepada pembangunan masjid di sini. Apabila kami sampai, tiba-tiba pengumuman telah dibuat melalaui corong pembesar suara masjid mengalu-alukan kehadiran kami dan disebut nama Hj. Satar. Tiba-tiba penduduk kampung termasuk kanak-kanak keluar berduyun-duyun ke masjid menyambut kehadiran kami. Selepas solat, salah seorang dari anggota XPDC membuka kupiah dan mengutip derma kilat dari anggota XPDC. Semua derma kilat tersebut telah disampaikan kepada pengerusi masjid. Nasib baik kami ada membawa coklat, jadi bolehlah kami bahagi-bahagikan kepada kanak-kanak yang ada di situ. Mereka kelihatan sangat gembira.

Sempadan Thailand-Kemboja

Bersama penduduk Islam di di Koh Kong

Lebih kurang jam 5.30 petang perjalanan diteruskan lagi menuju ke Bandar Phnom Penh yang jaraknya lebih kurang 500 KM dari Koh Kong. Perancangan awalnya kami ingin singgah di Kamport, kerana Hj Satar ingin menyampaikan sumbangan di sana namun dibatalkan kerana sudah terlalu lewat. Perjalanan melalui jalan yang kasar dan agak sempit, di kiri kanan hutan dan belukar yang masih belum diteroka. Sekali sekala akan melalui kawasan perkampungan. Akhirnya kami sampai di ibu negara Kemboja iaitu, Phnom Penh lebih kurang jam 12.30 malam dan singgah di sebuah restoren Makanan Islam. Di sana kami telah berjumpa dengan Prof. Madya Dr. Omar Majid dan Ustaz Syukri yang telah menunggu sejak pagi. Kami makan malam di restoren tersebut dan menunaikan solat di masjid yang sedang dalam pembinaan. Kami dimaklumkan oleh Hj. Satar, di zaman Pol Port masjid tersebut telah digunakan untuk menjadi kandang khinzir. Tetapi kini atas bantuan jutawan dari timur tengah tapak masjid tersebut telah dibeli semula dan akan dibangunkan masjid yang baharu di tapak tersebut.

Setelah berbincang akhirnya kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi XPDC kami iaitu Kampung Perek Sindai yang jaraknya dari Phnom Penh lebih kurang 250 KM. Kami dimaklumkan di kampung tersebut telah disediakan sebuah rumah untuk kami bermalam. Mengikut jadual esok pagi kami akan menyembelih dua ekor lembu dan seekor kambing serta memasak kenduri untuk penduduk kampung tersebut. Perjalanan kami sudah masuk hari yang ke tiga dan kami sudah tidak sabar untuk sampai ke destinasi yang dituju. Perjalanan pagi itu sangat perlahan, kerana keadaan jalan yang kurang elok dan suasana yang sangat gelap. Akhirnya kenderaan yang aku naiki bersama Hj. Hamid, Hj Redzual dan Tuan Bashir terlajak dan terpisah dari kumpulan konvoi. Kami beranggapan mereka telah meninggalkan kami dan terus memecut tetapi masih tidak berjumpa. akhirnya kami membuat keputusan untuk solat subuh di tepi Sungai Mekong berhampiran perkampungan Budha kerana hari sudah semakin cerah. Kami berdoa agar bertemu kembali dengan kumpulan konvoi. Alhamdulillah, setelah cuba mendail beberapa kali akhirnya dapat berhubung dengan Tuan Jamaludin. Rupanya kami sudah terlajak jauh. Kami berpatah balik dan sampai ke Kampung Perek Sindai lebih kurang jam 8.30 pagi. Rakan-rakan yang lain sedang berehat sambil menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh penduduk kampung. Khemah telah disewa khas untuk menyambut kedatangan kami.

Penduduk Islam di Kampung Perek Sendai

Tak kerja ke orang-orang di sini, kerana ramai yang berkumpul di rumah tumpangan kami. Rumah yang disediakan untuk kami menginap adalah antara rumah yang tercantik di kampung tersebut. Rumahnya tinggi dan di bahagian bawah rumah dijadikan tempat untuk orang ramai berkumpul sambil membuat kerja gotong-royong menyiapkan bahan-bahan untuk memasak pada pagi tersebut. Kami tidur di atas lantai papan beralaskan tikar. Di bahagian dapur seperti rumah rumah di kampung kita pada zaman tahun 1970an..masih lagi menggunakan dapur kayu. Lampu dinyalakan menggunakan generetor, dan hanya akan dibuka pada waktu malam. Sebahagian besar penduduk kampung tersebut masih menggunakan lampu pelita. Setelah semua berkumpul di atas rumah kami mula bermesyuarat bersama Ustaz Syukri, dan dipengerusikan oleh Dr. Roslan. Setiap orang diberi sebiji bantal sambil duduk bersila di atas lantai. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan program yang akan dijalankan sepanjang hari tersebut.

Selepas mesyuarat, kanak-kanak dan remaja mula memunggah barang-barang yang kami bawa, seperti pakaian, makanan dan al-Quran untuk di kumpulkan di atas rumah. Sebahagian anggota XPDC masih berehat kerana terlalu letih setelah memandu lebih 1,000 KM selepas bermalam di Bangkok malam sebelumnya. Ustaz Soufi memulakan sembilahan untuk lembu pertama dan Ustaz Nazim menyembelih lembu ke dua. Selepas itu dengan bantuan penduduk tempatan kami bergotong-royong melapah dan memasak dengan diketuai oleh Tn. Haji Hamid sebaga ketua tukang masak. Rempah-rempah dan sebahagian peralatan memasak telah disediakan dan dibawa dari Malaysia oleh Tuan Haji Hamid. Lebih kurang jam 11.30 pagi juadah kenduri telah dapat disiapkan. Pagi itu seluruh anggota masyarakat kampung Perek Sendai telah datang untuk makan kenduri yang dimasak mengikut resepi orang Pulau Pinang. Alhamdulillah dalam masa satu jam semua lauk pauk telah licin dan mereka semua mengucapkan terima kasih di atas jamuan kenduri tersebut.

Di sebelah petang sebahagian ahli XPDC meneruskan penyembelihan kambing dan memasak, sementara sebahagian lain pergi ke Kampung Tropang Beng lebih kurang 10 KM dari Kampung Perek Sendai yang jauh lebih daif. Untuk masuk ke kampung tersebut kami menggunakan kenderaan 4WD, kerana jalannya sangat becak dan berlopak-lopak. Kebanyakkan rumah-rumah di kampung tersebut hanya ala kadar beratapkan daun kayu dan berdinding papan yang dibelah dari batang-batang pokok kayu. Kebanyakkan mereka memasak di bahagian bawah rumah. Sebahagian besar penduduk berkerja menanam pokok ubi kayu. Tidak ada bekalan elektrik dan mendapatkan bekalan air daripada sebuah kolam yang telah dikorek dan disediakan oleh pemerentah. Kami telah singgah di sebuah masjid yang telah dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Di tepi masjid tersebut terdapat sebuah sekolah agama yang terletak di bawah rumah ustaz yang bertanggungjawab menguruskan dan mengajar anak-anak di kampung tersebut. Setelah berbincang kami telah menyerahkan sebahagian sumbangan yang diamanahkan untuk membeli pam air dan menyiapkan masjid bagi kegunaan penduduk Islam di situ.

Sekolah agama di Kampung Tropang Beng

Bekalan air dari sumber kolam yang disediakan oleh pemerintah

Di masjid Kampung Tropang Beng

Ubi kayu di jemur di hadapan rumah penduduk

Penduduk Islam di Kampung Tropang Beng

Kembali semula ke Kampung Perek Sendai menjelang maghrib, terus bergegas menuju surau Ustaz Syukri untuk solat maghrib bersama penduduk kampung melalui celah dan bawah rumah-rumah penduduk kampung. Rumah-rumah sudah gelap dan sebahagiannya hanya berlampukan pelita yang cahayanya keluar dari lubang-lubang dinding dan lantai. Setelah selesai solat kembali semula ke rumah penginapan, kami sangat terkejut kerana begitu ramai kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas sudah berkumpul di bawah rumah dan sekitar rumah, kerana menurut jadual malam itu ada program penyampaian bantuan kepada penduduk kampung. Cukupkah beg-beg dan alat tulis yang hendak disampaikan....kepada kanak-kanak sekolah?. Kelihatan ada juga mereka yang sudah agak dewasa turut beratur bersama-sama kanak-kanak untuk mendapatkan sumbangan...Alhamdulillah semua kanak-kanak dan warga emas yang hadir telah menerima sumbangan yang kami bawa dari Malaysia berupa beg, buku dan peralatan sekolah disamping bantuan kewangan dan makanan. Malam itu Dr. Roslan sempat memberikan ucapan dan memberi semangat kepada penduduk kampung dan pelajar-pelajar sekolah. Ada yang datang untuk mendapatkan bantuan peribadi..Dua adik beradik perempuan dengan linangan air mata merayu kepada ahli XPDC memohon bantuan, kerana bapanya terlantar dan tenat di hospital kerana ketiadaan wang untuk membayar kos perubatan. Malam itu beberapa orang anggota XPDC bergegas ke hospital, dan selepas didapati kebenaran cerita dua remaja tersebut, sumbangan telah diberikan. Walaupun program sudah berakhir, dan malam sudah dinihari, namun masih ada penduduk kampung yang menunggu di bawah rumah sambil berbual-bual. Mungkin mereka semua sukarela menjadi pengawal kepada anggota XPDC sepanjang malam itu...Akhirnya hanya bunyi dengkuran kami memecah keheningan malam kerana sudah terlalu keletihan....

Bersama penduduk Islam Kampung Perek Sendai

Pagi hari ke empat sebelum subuh kami sudah bangun dan bersiap sedia untuk solat berjamaah di sebuah masjid berhampiran. Solat subuh dengan berlampukan mentol kalimantag yang dihidupkan menggunakan bateri kereta. Selepas solat subuh berjalan-jalan di sekitar kampung, sambil menjamu selera bersarapan di gerai tepi jalan yang menjual makanan tradisi. Sebahagian mengunjungi rumah penduduk yang terlantar dan uzur sambil memberikan sumbangan. Di rumah tempat penginapan Hj. Hamid dan geng masak telah menyiapkan beehun goreng untuk sarapan anggota XPDC. Tak diduga rupanya sebahagian penduduk kampung pun turut bersarapan pada pagi itu. Agak terkilan kerana tak bawak beehun lebih sedikit. Tapi Alhamdulillah berkat... walaupun sedikit tapi masih mencukupi....mereka memuji masakan Hj. Hamid...

Lebih kurang jam 9.30 pagi kami telah bersiap untuk bertolak ke Phnom Penh. Sebelum bertolak anggota XPDC bergambar bersama-sama penduduk kampung. Kami membuat sedikit senaman dan regangan, namun penduduk kampung masih setia menunggu kami sehinggalah kami meninggalkan mereka dengan seribu kenangan....Semoga dapat bersua kembali....Kami terus menuju Phnom Penh dan menjelang waktu zohor kami sampai di bandar yang agak sibuk dengan kenderaan tut-tut. Singgah makan tengah hari dan solat di Restoren D' Wau yang dimiliki ushawan dari Kelantan. Selepas itu kami menaiki tut-tut melawat ke muzium perang yang dibina di sebuah sekolah tinggi yang satu masa dahulu telah dijadikan penjara dan tempat penyeksaan rejim komunis Polpot..Keadaan seksaan sangat mengerikan...Selepas itu kami berpusing-pusing ke kawasan bazar, malangnya banyak kedai yang tutup...rasanya tidak ada apa yang istimewa untuk dibeli, sebahagian barangan seperti kain dan pakaian ada di Malaysia...

Lebih kurang jam 5.30 petang kami meninggalkan Kota Phnom Penh menuju Kamport melalui jalan yang agak sempit dalam suasana hujan dan gelap. Kami memandu agak perlahan dan hanya sampai di Masjid Kamport lebih kurang jam 12.00 malam. Apa yang mengejutkan kami, masih ramai penduduk kampung lelaki, wanita dan kanak-kanak yang masih menunggu dan menyambut kehadiran kami kerana Tn. Hj. Satar telah berhubung melalui tetefon dengan JK masjid sebelum itu. Malam itu kami dijamu dengan roti panjang dengan telur goreng yang dihancurkan. Selepas solat dan berbual-bual kami tidur di masjid tersebut. Masjid tersebut juga adalah di antara masjid yang telah dibina melalui sumbangan dari orang ramai di Malaysia yang telah disampaikan melalui Tuan Hj. Satar. Beliau sentiasa memantau pembangunan masjid tersebut dan menaja beberapa orang pelajar dari kampung tersebut untuk mendalami ilmu agama di Malaysia. Sebahagian penduduk kampung juga menemani kami tidur di masjid pada malam itu.

Bersama Penduduk Islam Kamport

Menjelang subuh hari ke lima, kami solat subuh berjamaah bersama penduduk Kamport. Selepas solat membuat sedikit riadah dan melawat sekitar kampung sambil sarapan pagi di gerai berhampiran mesjid. Tn. Hj. Hamid juga memasak mee segera dan menyediakan air kopi untuk sarapan kami dan penduduk yang ada di masjid pada pagi itu. Pagi itu aku sempat pergi ke sekolah di tepi masjid dan mengajar tulisan jawi. Pelajar yang terdiri dari pelbagai usia duduk di atas batu bata di dalam satu bangunan sekolah yang terbuka dan berdindingkan zink berwarna hijau. kebanyakkan mereka boleh membaca tulisan jawi yang ditulis di papan hitam, tetapi tidak memahami maksudnya. Pagi itu sekali lagi kami membuat kutipan derma kilat di kalangan anggota XPDC dan menyerahkannya kepada pengurusan masjid. Lebih kurang jam 9.00 pagi kami meninggalkan Kamport menuju ke Koh Kong dan masuk ke sempadan Thailand melalui jalan yang sama semasa kami masuk ke Kemboja sebelum ini. Sampai di Bangkok lebih kurang jam 12.30 malam, banyak kedai makan sudah tutup dan malam itu kami tidur dengan nyenyak sekali.

Bersama pelajar sekolah agama di Kamport

Hari ke enam kami mula bergerak meninggalkan Kota Bangkok lebih kurang jam 8.30 pagi dan menuju sempadan Malaysia, iaiatu Bukit Kayu Hitam. Kami berharap dapat sampai ke sempadan sebelum jam 12.00. Jika terlewat pintu sempadan akan ditutup. Pada peringkat awal kami berjalan dalam satu konvoi tetapi akhirnya kami berpecah. Aku dan rakan-rakan dalam kereta Tuan Hj Hamid telah terpisah dengan dua kereta yang di hadapan dan dua kereta di belakang. Beberapa kali kereta kami tersesat dan berpatah balik masuk ke lebuh raya. Telefon bimbit saya sudah tidak berfungsi. Kami bertekad untuk kembali sendiri, dan berkemungkinan tidak dapat kembali bersama-sama dengan anggota XPDC yang lain kerana telah terputus hubungan komunikasi. Kami hanya mampu berdoa, semoga dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan yang lain. Sewaktu kami berhenti untuk mengisi minyak tiba-tiba terlihat kelibat dua kenderaan yang dipandu oleh Hj. Jalil dan Tuan Ghazali di tengah kepekatan malam. Ini adalah kerana bendera Malaysia yang berkibar serta sticker yang ditampal di badan kereta sebagai tanda itu adalah kumpula XPDC kami. Kami terus mengejar dan dapat bersama kembali. Nasib dua kenderaan lagi tidak dapat diketahui. Akhirnya aku telah memberi Sim Kad Thailand dan dapat berhubung semula dengan Tuan Hj. Satar dan dapat bersatu kembali. Sekarang hanya satu kereta sahaja lagi yang terpisah dari kumpulan kami. Akhirnya kami pun sampai di pekan Danouk, dan dapat berjumpa dengan kenderaan pertama yang dinaiki oleh Dr. Roslan. Kami tidak sempat keluar dari Thailand kerana sempadan telah ditutup. Malam itu kami tidur di sebuah masjid di Danouk.

Hari ke tujuh, lebih kurang jam 7.30 pagi kami pun bergerak melepasi sempadan Malaysia -Thailand terus menuju ke Bandar Putra Bertam bersama seribu satu pengalaman yang baru. Sebelum meneruskan perjalanan kami singgah sarapan di sebuah gerai di tepi jalan. Selesai sarapan kami bersalam-salaman dan membaca doa wehdah.....Terasa sayu dan menitis air mata, semoga dapat bersama lagi di XPDC yang lain. Semoga kembara kali ini meningkatkan rasa keimanan dan ukhuwah sesama anggota XPDC yang telah berjaya mengharungi segala kesusahan dan kepayahan... KLIK untuk ke gambar-gambar lain

Kembali Ke Ruangan Catatan