home
profil
kertaskerja
artikal
sumber
galeri
album
catatan
tazkirah
pautan

 

 

 

Ziarah ke Turki

Alhamdulillah, catatan ini adalah pengalaman kami sekeluarga ke bumi Turki pada akhir bulan Mei dan awal Jun 2015. Alhamdulillah kegagalan untuk mendapatkan tiket penerbangan umrah pada cuti bulan Disember 2014 yang lepas ada hikmahnya. Walaupun pada masa itu persiapan beg-beg pakaian dan visa sudah diperolehi. Namun kalau Allah tidak izinkan kita kena terima segala ketentuannya. Rupanya Allah SWT hendak memberi peluang kepada kami selain menunaikan umrah dapat ziarah ke bumi Turki pada tahun ini. Alhamdulillah sthuma Alhamdulillah...Turki adalah antara negara Islam yang sangat popular pada masa ini dan banyak sejarahnya kepada umat Islam. Ramai yang bercita-cita untuk ke sana.

t1

t2

Terminal KLIA 1

Bertolak dari KLIA 11.45 malam dengan pesawat Turkish Airlines menuju ke Istanbul. Selepas lebih kurang 10 jam 45 minit pesawat yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang Antartuk Istanbul pada jam 5.35 pagi waktu tempatan. Beza masa antara Kuala Lumpur dan Istanbul ialah 5 jam. Solat subuh kira-kira 3.30 pagi ketika berada di dalam perut pesawat Turkish Air. Nak tahu masuk waktu subuh bila kita lihat ke luar pesawat nampak cahaya warna kemerah-merahan, itulah fajar subuh. Sesampainya di airport terus beratur untuk urusan bagasi dan imegresen. Ramai pengembara dari Malaysia memenuhi airport di Istanbul. Ada yang baru sampai dan ada yang bersiap-siap untuk meninggalkan Istanbul. Di airport ni kita kena tukar duit dulu. Biasanya kita akan bawa dulit USD sebab kebanyakkan currency exchange di Malaysia tidak menjual Turki Lira (TL).

t3

t4

Lapangan Terbang Antartuk Istanbul

Udara di luar sangat dingin, walaupun sudah hampir habis musim bunga dan masuk musim panas. Kami disambut oleh Mr. Iberahim. Beliau yang membawa kami sepanjang berada di Turki. Tanpa mandi dan dengan pakaian yang sama terus masuk ke dalam perut bas (kebanyakkan bas berwarna putih) untuk meneruskan pengembaraan. Di kiri kanan jalan kelihatan bunga-bunga ros yang berbagai warna sedang mekar berkembang (roses time). Kami dimaklumkan sebelum musim bunga ros adalah musim bunga tulip. Kebetulan juga pada masa itu ialah musim pilihanraya Turki, jadi bandar Istanbul juga dipenuhi dengan bendera dan baner-baner parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan. Bandar istanbul sangat cantik dan bersih. Udaranya sangat nyaman dan bentuk mukabuminya yang beralun dan bergunung ganang sangat memukau pandangan. Di sana sini kelihatan kubah dan menara masjid yang mempunyai bentuk dan warna yang lebih kurang sama mengambarkan syiar dan ketamadunan Islam terselah di bumi Turki. Rekabentuk bangunan yang lama dan baharu saujana mata memandang di kanan dan kiri terusan Bosphorus yang memisahkan Asia dan Eropah.

ib

Mr. Iberahim

k5

k6

t7

Istanbul Turki

Pagi itu kami akan dibawa melawat ke Bursa iatu sebuah bandar lama menyeberangi laut Marmara. Dalam perjalanan menuju jeti di Eskihisar kami telah singgah di masjid dan makam Abu Ayoob Ansari (Halid bin Zayd). Abu Ayub al-Ansari ra adalah sahabat Rasulullah daripada kaum Ansar. Abu Ayub memiliki nama asalnya iaitu Khalid bin Zaid bin Khulaib. Digelarkan Abu Ayub adalah kerana bagi memuliakan keturunannya. ‘Abu Ayub’ membawa maksud ‘bapa kepada Ayub’. Dalam kempen menyebarkan syiar Islam ke Constantinople, Abu Ayub al-Ansari tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Akhirnya beliau syahid dan dimakamkan di luar tembok Constantinople seperti yang diwasiatkannya. Di sekitar masjid dan makam Abu Ayub terletak kawasan perkuburan yang sangat luas, bersih dan tersusun. Pengunjung juga boleh menikmati roti dan aiskrim Turki di gerai-gerai bersebelahan masjid.

k

k

k

Sekitar masjid dan Maqam Abu Ayoob Ansari

Meneruskan pengembaraan bas kami menuju ke jeti Eskhisar. Setelah menunggu giliran akhirnya bas kami dapat memasuki perut feri yang agak besar. Lebih besar daripada feri di Butterworth Pulau Pinang. Kami naik ketingkat atas untuk mengisi perut yang mula berkeroncong di restoran yang menjual pelbagai makanan dan minuman. Feri ini menyebarangi laut Marmara menuju jeti Yalova yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Dari jeti Yalova kami menuju ke Bursa melalui kawasan perkampungan. dikiri kanan kelihatan ladang-ladang zaitun dan kawasan penternakan. Kami juga melalui kawasan perusahan automobil. Bursa merupakan kota terbesar keempat di Turki setelah Istanbul, Ankara, dan Izmir. Kota ini pernah menjadi ibukota pertama Kesultanan Utsmaniyah pada tahun 1326 sampai 1365.

k

t8

k

Menyeberangi Laut Marmara

k

h

Di dalam feri

Antara tempat yang kami kunjungi ialah sebuah masjid yang terbesar di Bursa iaitu Grand Mosque atau Ulu Camii. Kebanyakkan masjid di Turki ada perkataan cammi atau jamek kalau di Malaysia. Masjid ini dibina pada zaman kerajaan Ottoman iaitu oleh Sultan Bayezid setelah berjanji dalam doanya sekiranya kerajaannya pada masa itu menang perang Nicopolis iaitu salah satu dari perang salib dia berjanji akan membina 20 masjid dan setelah menang penasehat beliau mencadangkan agar dibina satu sahaja masjid berkapasiti 20 buah masjid. Maka dengan itu terbinalah masjid ini di Bursa dengan bercirikan senibina seljuk lebih kurang tahun 1400 masihi. Semasa di masjid ini sempat berkenalan dan bersembang dengan seorang anak muda Bursa yang bekerja sebagai ahli farmasi. Aku menyatakan kekaguman melihat tamadun Turki, dan tidak hairan bagaimana Turki boleh menjadi pemimpin daulah Islam satu masa dahulu dan tidak mustahil Turki akan memimpin dunia Islam sekali lagi pada masa akan datang. Di sekeliling masjid terletak bazar yang besar. Ramai rombongan dari luar dan dalam negara Turki mengunjungi masjid ini. Sekumpulan pelajar Turki yang sedang melawat di kawasan itu mengajak aku bergambar bersama mereka. Di sebelah Ulu Cami ni lah terletaknya Koza Han iaitu 'The silk market of Bursa'. Isteri dan anak-anak aku pergilah tempat tu, aku dok layan sembang dengan anak muda Bursa yang fasih berbahasa Inggeris cerita tentang keadaan di Turki.

k

j

h

k

Disekitar Masjid Ulu Cammi

Satu lagi masjid yang kami kunjungi ialah Masjid Hijau (Green Mosque) Masjid Hijau atau Green Mosque atau Yesil Camii ni merupakan salah satu masjid yang menjadi tempat lawatan di Bursa bukan sebab masjid ini besar tapi sebab dalam kompleks masjid tersebut terdapatnya 'The Green Tomb' atau makam salah seorang khalifah iaitu sultan Mehmet 1 atau Mehmed Celebi. Sultan Mehmet adalah sultan yang menyatukan semula Turki yang pada masa itu dalam perebutan kuasa antara waris-waris sultan akibat kekalahan sultan Bayezid. Kalau kita lihat dari luar tak nampak pun warna hijau, cuma di bahagian dalam ada sedikit kawasan jubin yang bewrna hijau. Selepas bersolat kami berehat di sekitar masjid sambil melihat panorama kejiranan yang menampakkan ciri senibina lama yang sangat mendamaikan. seperti kota-kota lama yang lain jalan-jalan yang ada di situ agak sempit. Anak-anak aku sempat membeli makanan ringan dan gasing yang dijual oleh penjaja kecil di sekitar kawasan itu.

h

j

g

h

k

Sekitar masjid Yasil Camii

Lebih kurang jam 5.00 waktu tempatan kami bergerak ke hotel Gold 3 untuk berehat dan makan malam. Petang tu aku isteri dan anak-anak sempat meronda kedai-kedai di sekitar hotel untuk membeli bekalan makanan. Aku cari jugak masjid yang berhampiran untuk solat maghrib dan isya` nanti. Malam tu solat di masjid berhampiran hotel. Yang agak lain di sini ialah semua jamaah pakai stokin ketika datang ke masjid. Aku sorang tak pakai stokin, jadi nampak agak ganjil. Perjalanan ibadah solat pun nampak sangat berstruktur. Sebelum solat imam akan membaca ayat-ayat al-Quran, sementara semua ahli jamaah memegang Al-Quran sambil menyemak bacaan imam. Selepas solat berzikir bersama-sama, ada seorang ahli jamaah yang mengedarkan biji tasbih kepada semua jamaah untuk berzikir dan mengutipnya kembali.tapi zikirnya tidak terlalu kuat. Di bahagian ruang solat di bahagian belakang ada pentas kecil. di situ bilal akan melaungkan azan dan iqamah seterusnya membaca doa selepas selesai solat dan zikir. Aku tanya orang di situ jam berapa masuk waktu subuh sebab akau berazam untuk solat subuh di masjid pada hari esok. Dia kata dalam pukul 3.00 pagi. Esok seusai jam 3.00 aku sudah sampai di masjid, tapi ruang solat masih terkunci dan tidak ada seorang pun jamaah yang hadir. Aku tunggu lebih kurang 30 minit tapi masih lagi sunyi. Aku balik semula ke hotel bertanya jam berapa masuk waktu subuh. Dia kata jam 3.00 tapi azan di masjid dalam jam 5.00 pagi. Oh rupanya waktu subuh dia panjang...keluar dari masjid selepas solat subuh tenguk di luar sudah terang benderang.

h

Hari ke tiga kami bergerak semula ke Istanbul yang menempuh perjalanan selama lebih kurang empat jam setengah dengan bas dan melintasi laut Marmara menggunakan feri. Semasa berada di Bursa sempat singgah di Kedai yang menjual pelbagai manisan dan herba Turki (Turkish Candy). Kalau sebelum ini semasa mengembara di Oman ada juga manisan yang disebut halwa di Turki juga terkenal dengan manisan yang beranika jenis. Dengan kepetahan jurujualnya berkempen ramailah antara kami yang mula membeli berkotak-kotak oleh-oleh untuk di bawa balik nanti.

j

h

kk

Kedai Candy di Bursa

Di Istanbul kami di bawa melawat Masjid Suleymaniye. Ia adalah merupakan masjid terbesar di Istanbul dan dikatakan sebagai antara masjid tercantik di dunia. Sebelum ini yang aku tahu bila baca tentang Islam di Turki akan dipaparkan gambar masjid ini. Dibina atas arahan Sultan Sulaiman pada 1550 dengan rekaan arkitek diraja terkenal bernama Sinan, ia direka agar dapat menandingi Hagia Sofia dari keindahan senibinanya. Apa yang terhasil ialah sebuah masjid yang menggabungkan senibina Byzantine dan Islam dengan kubah besar dan tiang-tiang yang kurus. Yang menariknya, Sinan berjanji kepada Sultan bahawa masjid ini dibina dengan utuh sehingga apa pun yang terjadi, masjid ini bakal kekal selama dunia masih ada.

h

k

Dari Masjid Suleymanea bergerak ke Grand Bazaar. Di sinilah tempat tumpuan para pelancong dan pengembara untuk membeli barang-barang cenderamata yang akan dibawa pulang sebagai hadiah kepada rakan taulan atau sebagai barang kenang-kenangan. Grand Bazar atau dalam bahasa Turki desebut Kapalicarsi merupakaan pasar tertutup paling besar dan paling lama di dunia yang telah dibina pada tahun 1455 masihi. Dikatakan lebih kurang 4,000 unit kedai yang menjual pelbagai barangan terletak di bazar ini. Antaranya ialah kain, pakaian, batu permata, tembikar, barangan kulit, sejadah, alat muzik, dan banyak lagi. Aku pun terpaksa bertanya beberapa kali kepada para penjual di situ untuk mencari lorong keluar dari bazar. Terlalu banyak lorong dan sangat mudah untuk tersesat dan terpisah dengan rakan-rakan yang lain. Walaupun hampir dua jam berada di Grand Bazar namun tak mungkin dapat mengunjungi semua kedai yang terdapat di Bazar tersebut. Di situ aku sempat membeli gendang Turki (Darbuka) yang harganya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di Malaysia. Satu lagi yang aku suka ialah fresh orange yang diperah tanpa dicampur dengan air. Satu gelas dalam lima biji...betul-betul fresh...

j

k

k

Sekitar Grand Bazar

Menyelusuri terusan Bhosprous dengan menaiki Cruise sambil menyaksikan Istanbul dari kedua-dua belah benua iaitu Asia dan Eropah. adalah satu pengalaman yang sangat berharga., Pemandangan sepanjang menaiki feri ini amat indah dan cuaca dingin nyaman sekali seolah-olah berada di syurga dunia. Di sepanjang terusan itu kita akan dapat melihat jambatan Galatta dan Jambatan Kemal Attaturk yang menghubungkan Istanbul Eropah dan Istanbul Asia. Kita juga dapat melihat istana musim panas zaman kesultanan Otthmaniah, Universiti, masjid, hotel serta bangunan-bangunan lama dan baru berwarna keputih-putihan dengan taman-taman serta bot-bot mewah yang diletakkan di hadapan tempat kediaman. Burung-burung camar putih yang berterbangan sambil mengiiringi bot-bot yang lalu lalang menambahkan lagi keasyikan. Di kejauhan tebing selat Bhosprous kelihatan orang ramai sedang memancing..sungguh mendamaikan.

l

j

j

d

h

j

k

l

k

j

Menyelusuri terusan Bhosprous

Turki juga terkenal dengan barangan kulit bermutu tinggi yang dihasilkan dari kulit lembu. Pengembaraan seterusnya ialah ke sebuah kilang membuat pakaian kulit jenama Kuzu. Kilang ini menjadi pengeluar pelbagai jenama antarabangsa Perancis yang terkenal termasuk Gucci. Kami disajikan dengan satu majlis ringkas peragaan pakaian keluaran Kuzu sambil menikmati teh epal. Oleh kerana yang hadir pada masa itu kebanyakkannya bertudung sempurna maka semua yang menggayakan pakaian kulit itupun bertudung. Harga barangan kulit yang ditawarkan memang sangat mahal, kebanyakkannya hanya mampu tenguk. Hanya beberapa orang orang yang membeli dan harga sehelai jacket pun ribuan ringgit.

k

t

Di sekitar kilang barangan kulit

Pengembaraan diteruskankan ke Muzium IstanaTopkapi. Muzium ini yang terletak di Acropolis Hill merupakan istana pertama di Istanbul. Istana ini dibina semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al Fateh (dikenali juga sebagai Sultan Mehmet the Conqueror antara TM 1472-1478 dan digunakan sebagai istana dan pusat pentadbiran selama empat abad.. Kawasannya sangat luas dan strategik menghala ke Selat Bosphorus. Ia dibahagikan kepada beberapa seksyen, antaranya kompleks Harem, Dapur, Istana Sultan dan lain-lain. Topkapi Palace ini merupakan sebuah pusat pemerintahan kerajaan Uthmaniah setelah Constantinople berjaya ditakluki. Selepas itulah nama Constantinople ditukar kepada Islambol oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Semasa beliau menakluki kota Constantinople umur baginda baru 21 tahun. Pada 3 April 1924, Istana ini diisytiharkan sebagai Topkapi Palace Museum oleh Mustafa Kemal Attaturk.

j

j

h

k

h

Sekitar Muzium Istana Topkapi

Banyak tinggalan kerajaan Islam Othmaniah dipamerkan di sini. Antara yang menarik ialah artifak yang berkaitan dengan nabi Muhammad saw. Terdapat kesan tapak kaki, janggut dan serban beginda tersimpan di sini. Selain dari itu beberapa artifak para sahabat seperti pedang dan pakaian perang juga tersimpan di sini. Berjalan di kawasan istana ini boleh tersesat kerana terdapat banyak seksyen yang kadang-kadang amat mengelirukan.

h

Tidak jauh dari Istana Topkapi ialah Masjid Sultan Ahmed (Sultanahmet Camii). Ia juga dikenali sebagai Masjid Biru kerana sebahagian jubin dinding dalam masjid berwarna biru. Dibina pada tahun 1609 sewaktu pemerintahan Sultan Ahmed I. Masjid ini adalah antara salah satu dari tarikan pelancong yang terhebat di Istanbul. Masjid Sultan Ahmed mempunyai enam menara yang berjelajur dan berbentuk pensil. Elemen terpenting pada bahagian dalam masjid adalah mihrab, yang diperbuat daripada marmar arca, dengan sebuah niche stalaktit yang sangat menakjubkan...SubhanaAllah...

j

f

h

k

Aya Sophia atau Hagia Sophia merupakan sebuah struktur bangunan muzium yang terletak berhampiran dengan istana Topkapi dan Masjid Biru. Bangunan ini sering dianggap sebagai sebuah bangunan teragung dan tercantik di dunia. Pada mulanya, Aya Sophia dibina sebagai sebuah gereja bagi penganut Kristian Ortodoks tetapi kemudian diubahsuai menjadi sebuah masjid oleh kerajaan Uthamaniyyah pada tahun 1453 selepas kejatuhan Constantinople kepada tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan telah mengarahkan bangunan Hagia Sophia yang telah digunakan sebagai gereja besar selama lebih kurang 1000 tahun itu diubahsuai menjadi sebuah masjid. Loceng, altar dan barang-barang berunsurkan agama Kristian kemudian dibuang sementara lukisan pada dinding pula ditampal. Ia telah digantikan dengan unsur-unsur Islam seperti mihrab, mimbar dan empat menara di luar bangunan. Dinding-dindingnya telah dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran. Selama hampir 500 tahun, Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul dan menjadi model pada masjid-masjid lain seperti Masjid Biru, Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha. Kerajaan republik Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Antartuk yang berfahaman sekular telah menjatuhkan kerajaan khalifah Utmaniyah kemudiannya dan menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium bermula pada tahun 1935 sehinggalah sekarang.

k

k

j

j

g

h

k

d

Sekitar Muzium Hagia Sophia

Setelah lima hari kami di Turki dengan pelbagai pengalaman yang sangat berharga, tibalah masa untuk meninggalkan Istanbul untuk ke kota suci Madinah al-Munawarah. Semoga diberi kesempatan Jumpa lagi Istanbul...

j

kk