Ziarah umat Islam di Sumetra Utara
Catatan kembara kali ini ialah dari pengalamanku
ke Sumatera pada akhir tahun 2010. .Sebenarnya tempat yang
hendak dituju pun tak pasti. Kami cuba mencari syarikat-syarikat
pelancongan yang mungkin menawarkan pakej ke Medan dan daerah-daerah
sekitar Sumatera Utara di internet. Namun sampai di saat-saat
akhir masih belum ada syarikat yang bersedia untuk membawa
kami, kerana mungkin tidak menguntungkan kerana bilangannya
hanya lima orang sahaja. Kami bercadang untuk terus sahaja
ke Medan, kemudian di sana kami akan mencari tempat tinggal
dan menyewa kenderaan dan berjalan berpandukan peta atau
GPS sahaja. Namun setelah cadangan ini saya ceritakan kepada
salah seorang kaki tangan sebuah syarikat pelancongan di
Pulau Pinang, beliau menasihati kami cara begitu sangat
bahaya, kerana saya tidak ada pengalaman berjalan di sana.
Berdasarkan pengalaman selepas itu saya juga mencadangkan
supaya perlu ada orang yang memandu kita semasa melawat
ke Sumatra khususnya di daerah utara, kerana kawasan tersebut
orang Islam adalah minoriti dan sistem jalan serta tanda-tanda
jalan tidak seperti di tempat kita.
Baru saya teringat seorang rakan baik namanya
Saudara Mohd Nor dari Sulawisi yang beristerikan orang Medan
dan sedang menyambung pengajian di peringkat Phd. di Universiti
Sains Malaysia. Melaluinya saya telah diperkenalkan dengan
bapa mertuanya yang juga seorang pensyarah di Universitas
Muhamdiah di Medan. Namanya bapak Drs. Khaidir Sulaiman.
Setelah berhubung melalui telefon akhirnya kami saling mengenali
dan beliau bersedia untuk membawa kami melawat keberapa
tempat di sekitar Sumetara Utara. Kos untuk lima orang selama
empat hari tiga malam lebih kurang RM 4000.00 meliputi sewa
kenderaan 4WD, minyak dan tempat penginapan. Makan minum
ditanggung sendiri. Hanya permintaan saya kalau boleh nak
melawat tempat-tempat pengajian di Sumatera serta tempat-tempat
yang menarik. Kalau boleh cari penginapan yang hampir dengan
kawasan masjiid dan penempatan orang Islam. Saya ingin melihat
bagaimana amalan saudara-saudara Islam kita di sana.
Kami menaiki pesawat Air Asia jam 9.00 pagi
dari Airport Bayan Lepas dan sampai di Lapangan Terbang
Antarabangsa Polonia Medan, Indonesia lebih kurang jam 10.00
pagi waktu Malaysia. Lapangan terbang ini menghubungkan
bandar Medan dengan bandar utama berhampiran seperti Jakarta,
Batam, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, dan
Singapura. Sampai di airport kami disambut oleh Bapak Khaidir
dan anaknya Iqbal yang kebetulan sedang cuti semester dan
sedang menunutut di salah sebuah Universiti di Medan.
Disamping itu kami juga disambut oleh pembantu-pembantu
lelaki yang tidak dikenali, berebut-rebut untuk menarik
atau mengangkat beg serta mengisi borang-borang tertentu
tanpa diminta. Sebenarnya pertolongan yang diberikan bukanlah
sukarela, tetapi mereka akan meminta upah. Berapa pak upahnya?
...RM 50..... Aduh tolak troli beg dari airport ke tempat
parking yang jaraknya lebih kurang 50 meter RM50....mahal
tu... Akhirnya aku bagi RM 30 sahaja...Dia pun kata OK.
.jpg)
Lapangan Terbang Antarabangsa
Polonia Medan
Kami pun masuk ke dalam perut 4WD, yang
disewa Bapak Khaidir dan anaknya Iqbal, keluar dari kawasan
LT Polonia melalui bandar Medan terus menuju ke Danau Toba
di Parapat. Kami dimaklumkan perjalanan ke Perapat mengambil
masa hampir 5 jam. Medan adalah ibu kota Provinsi Sumatera
Utara. Suasana yang paling berbeza di sini ialah bunyi sautan
hon kereta dan kenderaan lain yang saling bersaut-sautan.
Sama suasananya semasa menaiki teksi di Bandar Aman Jordan.
Antara kenderaan yang jarang kita temui di tempat kita ialah
beca motorsikal (becak motor) yang banyak terdapat di kota
ke empat terbesar di Indonesia ini. Hingar bingar sekali
bunyi hon...Kadang-kadang bunyi hon tu saja-saja tanpa ada
tujuan tertentu. Kalau di Malaysia bunyikan hon tak tentu
pasal boleh jadi pergaduhan. Walau pun sesak tetapi tak
bertemu dengan kemalangan jalan raya sepanjang berada di
Medan. Di kanan kira jalan kelihatan bangunan-bangunan perniagaan,
universiti, sekolah, tempat tinggal, masjid dan rumah ibadah
terletak berhampiran antara satu sama lain. Sangat banyak
universiti, institut, sekolah tinggi, akedemi dan politeknik
di Sekitar Kota Medan. Di sekitar Kota Medan sahaja terdapat
lebih 25 universiti. Kadang-kadang kelihatannya kawasan
dan sekolah di tempat kita lebih luas berbanding setengah
bangunan universiti di Medan. Antara universiti yang besar
dan terkenal di Kota Medan ialah Universiti Sumatera Utara
(USU). Kami dimaklumkan ramai pelajar dari Malaysia belajar
di universiti ini.
.jpg)
Univeristi Uslam Sumatera
Utara
Kami dimaklumkan Universiti Sumatera Utara
(USU) adalah antara universiti yang terbesar dan tertua
di Pulau Sumatera. Luasnya lebih 115 H dan jumlah pelajarnya
dikatakan hampir mencecah 25,000 orang dalam satu-satu masa.
Terdapat pelbagai fakulti seperti perubatan, ekonomi, pengajian
Islam dan sebagainya dan dimaklumkan terdapat hampir 100
kursus dikendalikan di universiti ini.
Setelah meninggalkan kota Medan kami melalui
kawasan perkampungan, jalannya agak sempit bukannya lebuh
raya. Di kanan kiri kelihatan kawasan sawah padi yang luas
dan dijalankan secara tradisi. Terdapat rumah-rumah kampung
yang sederhana dan majoriti adalah dari kaum batak. Sebahagian
kecil kaum batak beragama Islam dan sebahagian besarnya
beragama kristian.
Setelah beberapa jam meninggalkan Kota Medan
kami sampai di Tebing Tinggi. Jaraknya lebih kurang 80 KM
dari Medan. Kami berpusing-pusing di tengah bandar untuk
mendapatkan restoran makanan Islam. Bandar ini lebih kurang
sebesar Bandar Sungai Petani. Agak perlu berhati-hati untuk
mencari makanan halal. Kami dimaklumkan Bapak Khaidir Restoran
Minang adalah antara restoran yang dikendalikan oleh orang
Islam, kerana semua orang minang adalah beragama Islam.
Akhirnya kami menemui sebuah restoran Minang. Mula-mula
agak terkejut, berada di restoran minang. Kita akan dihidangkan
dengan semua jenis lauk pauk yang terdapat di restoran tersebut.
Semua pinggan yang dipenuhi dengan lauk pauk disusun hingga
bertingkat-tingkat. Jangan risau...hanya lauk yang disentuh
dan dimakan sahaja yang akan dikenakan bayaran yang tidak
disentuh akan disimpan kembali. Secara umumnya tidaklah
terlalu mahal, lebih kurang dengan harga makanan di Pulau
Pinang. Tapi kebanyakan hidangannya sangat pedas. Selepas
makan singgah di sebuah masjid yang agak kecil di tengah-tengah
bangunan kedai untuk solat jama' zohor dan asyar. Antara
makanan yang kelihatan di sini ialah lemang yang dimasak
di dalam buluh seperti di tempat kita.
.jpg)
Hidangan di Restoran
Minang
Perjalanan diteruskan lagi dan melalui satu
kota lagi iaiatu Kota Pematangsiantar. Kota ini majoriti
penduduknya beragama kristian. Jarak kota ini dari Medan
lebih kurang 120 KM. Kota ini agak besar tetapi lebih kecil
dari Kota Medan. Kami dimaklumkan selain bidang pertanian
terdapat kegiatan industri di daerah ini yang terletak di
tengah-tengah Kabupaten Simalungun. Kami hanya melintasi
kota ini dan tidak berhenti. Banyak banner-banner mengalu-alukan
kehadiran hari natal. Kebanyakkan kedai-kedai di sini kelihatannya
dimiliki oleh kaum cina. Terdapat beberapa buah universiti,
institut dan akademi di sekitar kota ini. Antaranya ialah
Universiti Simalungun (USI).
Akhirnya kami sampai ke
destinasi pertama untuk bermalam iaitu Parapat ketika waktu
sudah hampir senja setelah melalui jalan berbukit bukau
dan berliku-liku. Tanda jalan tidak banyak, sekiranya kita
berjalan tanpa pemandu boleh tersesat. Parapat,adalah sebuah
kota visata (lawatan) di tepi Danau Toba, berada di wilayah
Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara. Jaraknya sekitar 50
km dari Kota Pematangsiantar. Banyak kedai-kedai dan hotel
di sini. Ada sebuah masjid yang sederhana di tengah pekan
Parapat iaitu Masjid Takwa yang berkubah warna silver. Di
sekitar masjid tersebut terdapat penempatan dan kedai-kedai
yang dimiliki oleh orang Islam. Sementara Bapak Khaidir
mencari hotel kami anak beranak berjalan-jalan di tepi tasik
Danau Toba yang saujana mata memandang. Airnya sangat jernih
dan pemandangannya sangat cantik. SubhanaAllah....tetapi
apa yang terdetik di hati aku ialah, kenapa tempat secantik
ini dipenuhi dengan bangunan-banguna gereja yang kelihatannya
di sana-sini di sekitar tasik yang luas mata memandang itu.
.jpg)
Di hadapan Masjid Taqwa
di Parapat
Malam di Parapat agak sejuk,
kebetulan musim hujan, makanan di hotel halal dan di hantar
ke bilik. Selepas solat subuh dan bersarapan dengan menaiki
bot menuju ke Pulau Sumasir di tengah-tengah Danau Toba.
Danau Toba adalah sebuah tasik yang panjangnya kira-kira
100 KM dan lebarnya 30 KM. Perjalanan ke Pulau Somasir lebih
kurang 45 minit. Di pulau tersebut terdapat pekan dengan
deretan kedai-kedai cenderamata yang diperbuat daripada
kayu bernama Tomok. Di Pulau tersebut juga terdapat Muzium
Batak.
.jpg)
Menaiki bot di tasik
Danau Toba
.jpg)
Bersama Bapak Khaidir
di Danau Toba menuju Pulau Sumasir
.jpg)
Muzium Batak di Tomok
.jpg)
Sedang menyaksikan persembahan
penduduk tempatan di Tomok
Di sebelah petang hari kedua, perjalanan
diteruskan menuju Beras Tagi, iaitu kawasan tinggi yang
sejuk sepert Cameron Highland di Malaysia. Kami menggunakan
jalan berlaianan dari jalan semasa kami datang ke sini.
Perjalanan melalui jalan sempit yang berlopak-lopak merentasi
pinggiran tasik Danau Toba. Jalan yang kami lalui agak sunyi.
Sekali-sekala akan berselisih dengan kenderaan yang datang
dari arah bertentang. Setiap kali berselisih, salah satu
kenderaan harus berhenti di dibahu jalan untuk memberi laluan
kepada kenderaan dari arah bertentangan berselisih. Di kiri
kanan jalan terdapat hutan kayu firus dan perkampungan kecil.
Lebih kurang 40 KM sebelum sampai ke Beras Tagi kami singgah
menyaksikan panorama air terjun Si Piso-Piso. Semakin hampir
dengan Beras Tagi terdapat banyak kebun-kebun sayur di kawasan
tinggi di kiri kanan jalan. Melalui kampong Batak Karo dan
kita akan temui banyak gereja di kawasan perkampungan mereka.
Pemandangan yang agak ganjil ialah kubur-kubur kaum batak
ini di bina tinggi dan kadang kala lebih cantik daripada
rumah tempat mereka tinggal. Sampai di Beras Tagi menjelang
malam dan terus menuju sebuah masjid untuk solat. Sementara
menunggu Pak Khaidir mencari hotel untuk penginapan malam
tu kami berjalan-jalan di kedai-kedai Beras Tagi dan makan
malam di kedai Ayam Penyet. Di Beras Tagi banyak dijual
pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Hotel tempat
kami menginap berhampiran dengan sebuah lembah yang menempatkan
kira-kira 400 buah rumah orang Islam. Solat subuh di sebuah
masjid di kampung tersebut. Agak terkilan kerana jamaahnya
hanya sekitar lima orang. Menurut seorang jamaah di situ,
dahulunya masjid tersebut makmur ramai jamaahnya, tetapi
sekarang semakin kurang jamaahnya. Malah di tempat lain
ada satu kampung telah kembali kepada agama asal. Diperhatikan
di kawasan perumahan yang padat itu boleh dikatakan setiap
rumah dipasang parabola tv yang boleh menerima siaran dari
pelbagai negara...
.jpg)
Air terjun Si Piso-Piso
.jpg)
Sebuah masjid yang megadaptasikan
seni bina Batak Karo
.jpg)
Melawat pasar buah-buahan
dan sayuran di Beras Tagi
.jpg)
Mengelilingi bukit Gundaling
melihat panorama bandar Berastagi
Keesokannya kami melawat Bukit Gundaling
Berastagi. Di atas bukit ini banyak kedai cendera mata dan
tempat penduduk tempatan berkelah. Kami menunggang kuda
mengelilingi bukit ini untuk melihat panorama kota Berastagi
dari tempat tinggi. Selepas membeli belah di pasar buah-buahan
di Beras Tagi kami meneruskan perjalanan kembali semula
ke Kota Medan. Dalam perjalanan singgah untuk madi di kolam
air panas Sibayak. Di sini kami dapat melihat sebahagian
gunung berapi yang masih mengeluarkan lahar dan asap.
.jpg)
.jpg)
Air panas Sibayak
Dalam perjalanan ke Kota Medan Bapak Khaidir
telah membawa kami untuk singgah solat di sebuah masjid.
Malangnya saya tak ingat nama masjid tersebut. Apa yang
menarik ialah di sekitar masjid tersebut disediakan pusat
rekreasi seperti aktiviti upselling, taman permainan, kolam
ikan, chelet dan gerai-gerai menjual makanan dan minuman.
Ramai yang singgah ke masjid tersebut untuk solat sambil
berekreasi.
.jpg)
.jpg)
Taman rekreasi di sekitar
masjid
Sepanjang perjalanan menuju ke Medan, banyak
jalan yang rosak. Ada komuniti yang menyediakan tabung untuk
memohon sumbangan daripada orang ramai yang melalui jalan
tersebut untuk digunakan bagi memperbaiki jalan tersebut.
Terdapat banyak gereja di kiri kanan jalan. Daging hinzir
dan anjing bakar di jual di tepi-tepi jalan sahaja.
.jpg)
Sampai di Kota Medan menjelang malam terus
ke Hotel Madani, yang nampak islamik. Pekerja wanita semua
bertudung. Makanan tidak halal seperti alkohol tidak dibenarkan
di hotel ini. Bersetentang dengan hotel Madani ialah Masjid
Raya yang telah dibina di zaman Kesultanan Deli. Tidak jauh
dari Masjid Raya terletak Istana Maimun yang hanya tinggal
sejarah.
.jpg)
Hotel Madani
.jpg)
Masjid Raya Medan
.jpg)
Istana Maimun yang hanya
tinggal sejarah. Sistem kesultanan telah berakhir di Indonesia
Keesokan harinya pergi ke pasar ikan. Namanya
pasar ikan tetapi menjual pelbagai jenis pakaian daripada
batik dan pakaian-pakaian lain juga barangan lain. Seperti
di pasar Payang di Kuala Terengganu. Di sini juga kami membeli
buah salak untuk di bawa pulang. Perlu berhati-hati pastikan
jika membeli buah salak perlu dileraikan dari tangkainya
dan tinggalkan tangkainya di Medan. Kenapa? Apabila sampai
di imigresen Malaysia antara buah-buahan yang dilarang dibawa
masuk ialah buah salak yang bertangkai dan buah mangga.
Jika ditemui akan dirampas. Ini adalah kerana bimbang tersebarnya
serangga pemakan buah masuk ke Malaysia. Antara makanan
lain yang boleh dibawa pulang ialah kek lapis yang bermacam
warna dan rasa yang diusahakan oleh orang Islam di Kota
Medan.
.jpg)
Pasar ikan, menjual pakaian
Setelah empat hari berada di Sumatera Utara
tiba masa untuk pulang dan terus menuju ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Polonia Medan untuk kembali ke Pulau Pinang.
Terima kasih Pak Khaidir dan Iqbal semoga dapat ketemu lagi.
Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar mudah-mudahan
bertambah iman.
Kembali
Ke Ruangan Catatan