home
profil
kertaskerja
artikal
sumber
galeri
album
catatan
tazkirah
pautan

Guestbook  


How Many People Visit  

butgcatatan

Mengembara ke Korea Selatan

Alhamdulillah, catatan ini adalah pengalaman kami sekeluarga ke bumi Korea Selatan pada bulan Fabruari 2016 berbetulan cuti Tahun Baru Cina. Anak-anak dah lama cadang untuk mengembara ke Korea. Tapi bagi aku macam tak ada sesuatu yang istimewa untuk ke Korea. Tapi bagi anak-anak yang sedang di alam remaja walaupun semua masuk sekolah SMKA tapi tetap minat artis-artis Korea jugak. Anak-anak aku pujuklah.. di Korea pun ada orang Islam, ada masjid bla..bla..tahu dah politik dia orang ni.. Kebetulan anak yang nombor dua Sarah sedang cuti tunggu keputusan SPM, jadi emak dia bagi tugas kepadanya untuk study tentang Korea dan merancang perjalanan semasa berada di sana.

kore000

Alhamdulillah dari mula bertolak dari rumah, sepanjang berada di Korea sehingga sampai semula ke Malaysia hampir 95% mengikut itinerary yang telah dirancang oleh Sarah. Klik sini untuk download Itinerary Sarah. Semua dia dah study termasuk nak naik train mana, teksi, bas, tempat tinggal, tempat nak dituju, harga tiket, jadual bas, masjid, kedai..makanan halal dll. Yang aku heran masa nak beli tiket keretapi di Korea, eh senang je dia beli sedangkan arahan semua dalam bahasa Korea. Kebanyakkan tiket teksi, bas dia dah booking sebelum bertolak ke Korea. Dia dah boleh cerita dari guesthouse nak pergi ke tempat nak naik bas dengan detail termasuk ada garisan kuning dan warna bas. Bila sampai sana betul-betul sama. Anak-anak ni kalau dia buat dari hati insyaAllah boleh.. tapi kalau bukan dari hati...tak boleh sahaja dan macam-macam alasan.

Bertolak dari Bandar Putra Bertam seawal 9.30 malam menuju ke KLIA 2. Parking kereta di KLIA 2 walaupun agak mahal iaitu RM48.00 sehari, tetapi berbaloi. kerana kawasan berbumbung dan ada kawalan keselamatan. Sebelum tu ada beberapa pilihan untuk ke KLIA, Naik Flight dari Penang dan tinggal kereta di rumah. Tapi kos tiket, dan sewa teksi dari rumah ke airport Penang bila kira-kira lebih mahal. Jadi inilah pilihan yang kami buat untuk meminumkan kos pengembaraan.

kk

Parking di KLIA2

Warganegara Malaysia yang ingin mengembara ke Korea tak perlu dapatkan visa jika berada di sana tidak lebih dari 90 hari. Bagi mereka yang sekadar untuk melancong ke Korea Selatan, perlu maklum bahawa VISA tidak diperlukan, kerana entrance Korea Selatan anda akan diberikan tempoh 90 hari bagi pass pelancong. Booking tiket awal-awal untuk dapatkan harga yang murah. Lapangan terbang yang menghubungkan di antara Kuala Lumpur ke Seoul adalah Incheon International Airport. Di Seoul terdapat dua airport iaitu Incheon dan Gimpo. Incheon merupakan lapangan terbang antarabangsa manakala Gimpo Airport lebih banyak menawarkan penerbangan domestik meskipun ada juga penerbangan antarabangsa berlepas dari sini. Macam KLIA dengan Subang Airport. Satu lagi, oleh kerana Islam adalah minoriti di Korea mungkin agak sukar untuk mencari makanan halalan toiba di satu-satu lokasi tertentu. Tapi kalau yakin, ramai je orang Malaysia yang beli dan makan sea food ikan, ketam goreng dan lain-lain di gerai tepi jalan atau street food. Lagi pun makanan di sana agak mahal. Jadi isteri aku bawak macam-macam makanan yang mudah dimasak termasuklah roti, beras dan periuk kecil. Satu beg tarik tu penuh isi dengan makanan.

mknan

Bekalan makanan

Masuk hari kedua pengembaraan, di KLIA 2, Check in 5.40 pagi dan tidak ada apa-apa masalah. Awal Februari di Korea masih musim sejuk, jadi pakai longjhon siap-siap sebelum naik flight dan jacket bawak dalam beg carry. Solat subuh dahulu dan makan kenyang-kenyang. Sekitar jam 7.30 pagi beratur masuk ke dalam perut Air Asia.

kore2

Sedia untuk masuk ke perut Air Asia

Penerbangan dari Kuala Lumpur international airport ke Incheon International Airport mengambil masa kira-kira enam jam setengah. Perbezaan masa antara Kuala Lumpur dan Seoul ialah satu jam. Sampai di Incheon International Airport lebih kurang jam 3.00 petang, beratur dan berurusan dengan immigration. Alhamdulillah tidak ada apa-apa masalah. Dah masuk waktu asar, maka kita orang solat jama' takhir.

kore3

kore4

Sampai di Incheon International Airport

Perjalanan selanjutnya adalah untuk ke tempat penginapan di Namsan yang telah di booking awal. Dari airport terdapat beberapa option pengangkutan untuk ke bandaraya Seoul. Pilihan yang ada adalah teksi, bas dan menggunakan tren. Kami awal-awal dah ambil keputusan untuk naik teksi dan dah booking siap-siap juga dari Malaysia. Tambang teksi yang boleh muat 5 orang 65,000 won (RM236.00). Jadi bila keluar sahaja di ruang ketibaan, pemandu teksi dah tunggu. Dalam kesejukan waktu petang kami pun menyelusuri lebuhraya yang dipenuhi dengan kenderaan menuju ke Namsan. Disebelah kiri kelihatan terusan yang sebahagian airnya membeku. Pokok-pokok tidak berdaun menandakan musim sejuk di Korea. Setelah lebih dua jam perjalanan kami pun sampii ke Namsan Guesthouse 4. Hari sudah mula gelap kerana dalam musim sejuk biasanya matahari lambat keluar dan cepat gelap.

kore5

kore6

Namsan Guesthouse 4: Di sini kami tinggal sepanjang berada di Korea

Malam lebih panjang berbanding siang. Walaupun musim sejuk, waktu malam di Korea sangat meriah. Orang ramai dan penduduk tempatan keluar membeli belah dan mengisi perut kerana banyak gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan dan dibuka sehingga dinihari. Sepanjang berada di Korea lebih kurang 7 hari kami tinggal di Namsam Guesthouse yang comel ni. Booking online dan membuat bayaran sebaik tiba di sana. Untuk satu bilik yang boleh diduduki 5 orang sewanya 110,000 won sehari (lebih kurang RM 400.00). Setiap hari kami akan keluar ke distinasi tertentu dan malam balik semula ke guest house yang sama. Ok je bilik dia luas dan selesa. Orang sana suka tidur atas tilam di lantai je. Namun ada juga satu katil kecil. Berkongsi ruang tamu dan dapur masak dengan penghuni-penghuni lain. Lantainya ada lapisan papan dan di bahagian bawah lantai ada pemanas. jadi bila masuk ke dalam bilik rasa hangat dan selesa sebab kita tidak biasa dengan suhu yang sangat sejuk di luar sehinga -2 darjah.

kore7

kore 7

kore8

kore8

kore9

Berjalan-jalan di Myeongdong pada waktu malam

Cuba google untuk cari masjid di Namsan, tetapi tak ditemui. Jadi kami solat di ruang tamu sahaja berpandukan arah kiblat di HP. Selepas solat lebih kurang 7.30 malam kami keluar ke Namdemum Market untuk membeli winterboot anak-anak dengan berjalan kaki dan menaiki subway. Sebelum tu Sarah singgah di kedai 7E untuk beli TMoney yang akan digunakan untuk naik subway. Lebih kurang macam touchNGo. Kami ikut je Sarah naik turun tangga dan keluar masuk trowong bawah tanah. Kalau dia tinggal mungkin aku pun tak jumpa jalan balik. Tapi malam tu banyak kedai-kedai dah tutup..mungkin pergi semula hari yang lain. Ada masa lagi terus pergi Myeongdong salah satu syurga membeli belah terutama untuk barang-barang kecantikan wanita. Ada sederet bangunan yang besar hampir semua kedai menjual barang-barang berkaitan dengan kecantikan dengan pelbagai jenama. Di bahagian tengah antara bangunan tu terdapat gerai-gerai kecil yang bersih menjual pelbagai jenis makanan panas seperti seafood, keledek bakar, kebab dan sebagainya. Orang ramai berjalan ke hulu hilir sambil menjamah makanan yang digemari. Sebahagiannya ada yang ditulis halal mungkin sekarang ni ramai pelancong luar yang beragama Islam mengunjungi tempat itu. Selepas kepenatan berjalan, dan mengisi perut pulang ke guesthouse sebab perlu tidur awal, kerana awal pagi esok perlu segera untuk perjalanan yang agak jauh iaitu YongPyong Ski Resort dengan menaiki bas.

kore10

MyeongDong Station: Menunggu bas untuk ke Yongpyong Ski Resort yang terletak di Pyeongchang

Hari ke tiga, seawal 7.00 pagi kami sudah keluar untuk ke Pong Pyong Resort. keluar dari tempat penginapan dengan berjalan kaki dan seterusnya menaiki subway ke MyeongDong Station. Kata Sarah bas purpule akan sampai pada 7.55 pagi dan telah ditempah melalui online sebelum datang ke sini lagi. Ramai group lain yang juga sedang menunggu kedatangan bas di situ. Tepat jam 7.55 pagi bas purple pun sampai. Perjalanan dengan bas dari MyeongDong Station ke Yongpyong Ski Resort yang terletak di Pyeongchang, Gangwon-do mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Nasib baik bawak roti dan coklat...kalau tak mesti kelaparan. Isteri aku dah masak nasi siap-siap dan bungkus dengan koil supaya tahan panas dan bawa beberapa tin ayam kurma segera Berahim. Kata Sarah tempat yang nak dituju ni susah sikit nak dapat makanan halal. kalau ada pun kebab Turki. Yongpyong Ski Resort ni dikatakan antara tempat ski yang terbaik dan terbesar di Korea Selatan. Dimaklumkan tempat ini akan menjadi tuan rumah XXIII Olympic Winter Games 2018. Dalam perjalanan menuju Yongpyong tu, aku dapat melihat kawasan yang bergunung ganang yang diliputi salji keputih-putihan. Dimaklumkan sebahagian pengambaran drama Winter Sonata lokasinya di kawasan resort ini. Anak-anak aku pergi mengelunsur dari kawasan tinggi. Wau!.. sejuk mengigil-gigil.

kore13

kore14

kore15

kore16

Di sekitar Yongpyong Ski Resort

Selepas penat main sled (15,000 won/1) dan ambik gambar dengan macam-macam gaya, perut pun lapar..makan nasi bekal yang isteri bawak dan solat di tempat rehat yang ada pemanas. Dah alang-alang sampai sini kami pun decided naik gondola ke Dragon Peak (puncak Mt Balwang) untuk snap photos lagi. Untuk sampai ke puncak Mt Balwang ni mengambil masa 20 minit (one way). Pemandangan sangat cantik dari atas, boleh nampak peluncur ski di celah-celah pokok dan cerun.

kore17

kore17

Makan bekalan nasi dengan kurma dalam tin...bila lapar semua sedap

kore18

Solat wajib ditunaikan walau di mana kita berada...

kore18

kore19

kore20

kore21

Naik gondola ke Dragon Peak (puncak Mt Balwang)

Sebelum bergerak balik sempat cari kebab Istanbul yang viral dalam facebook sebelum itu. Jam 5.00 petang bas mula bergerak meninggalkan kawasan pergunungan kembali ke MyeongDong dan sampai lebih kurang 7.30 malam.

kore22

Sambung shooping di MyeongDong shooping centre… boleh lah anak-anak aku beli mask lah.. kawan-kawan dia pun kirim juga. Aku beli keledek bakar je dgn jus buah delima. Badan pun letih balik ke guesthouse rehat...

kore23

Hari ke empat, jumaat seawal 10.00 pagi keluar dari tempat penginapan menuju ke Itaewon. Dari carian melalui pengalaman pemgembara yang lain, di situ agak ramai komuniti Islam dan ada sebuah masjid dan sekolah Islam. Di situ juga banyak restoran halal. Jadi kami merancang untuk solat jumaat dan cuba makanan Korea di sana. Kali ni berjalan kaki dan naik subway. Perjalanan ke sana lebih kurang 30 minit. Akhirnya sampailah ke tempat yang dituju. Alhamdulillah jumpa ramai orang Islam dari pelbagai negara. Bangsa Korea yang Islam pun ada. Khutbah jumaat disampaikan dalam bahasa korea dan arab. Selepas solat pergi ke restoran di situ dan mencuba makanan Korea. Lepas tu saja ronda-ronda melihat kawasan persekitan di bandar sambil ambik gambar.

kore24

Bersama saudara muslim Korea di hadapan masjid Itaewon

kore28

kore25

kore26

kore28

kore28

Di sekitar masjid Itaewon banyak kedai makanan halal

Sebelah petang terus menuju ke Myeongdong. Dari Myeondong ke Namsan Tower dengan menaiki Cable Car. Namsan Tower ni adalah antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong yang datang ke Korea. Namsan Seoul Tower adalah sebuah pemancar radio yang terletak di Seoul dan dibangunkan pada tahun 1969, dan dibuka untuk umum pada tahun 1980, tinggi menara ini mencapai 236.7 m (777 kaki) dari dasar dan berada di ketinggian 479.7 m (1,574 kaki) di atas permukaan laut. Antara trademark yang terdapat di sini ialah 'padlock' yang digantung oleh couple-couple dan pengunjung. Ada ratusan ribu rasanya...Tunggu di situ ambil gambar matahari terbenam..cantik.

kore29

kore30

kore31

kore32

kore33

Di sekitar Namsan Tower

Hari ke lima, perjalanan agak jauh iaitu ke Nami Irland, jalan kaki, naik subway, train, teksi dan feri. Inilah cara yang Sarah kata paling murah. Masa ni aku ikut je...Dari Myeongdong ke Cheongnyangni naik Subway (1250 won). Kemudian tukar naik train ITX menuju ke Gapyeong (4000 won). Beza train dengan subway ia lebih besar dan panjang kebanyakan laluan atas tanah.

kore31

kore34

kore32

Menaiki train ITX dari Cheongnyangni menuju Gapyeon

Sampai di Gapyeong naik teksi ke jeti Nami (lebih kurang 4000 won). Kemudian ke Pulau Nami naik feri (8000 won/1). Sejuk..ketul-ketul ais nampak di permukaan air.

kore38

kore35

kore36

Menaiki feri ke Pulau Nami

Pulau Nami menjadi terkenal dikalangan anak muda Malaysia setelah menjadi lokasi penggambaran drama sensasi Korea, Winter Sonata. Pulau yang berbentuk bulan sabit ini kelihatan seperti daun besar yang terapung di tengah sungai Han. Pulau Nami dikatakan terbentuk melalui mendapan batu dan pasir di Sungai Han manakala pembinaan Empangan Cheongpyeong mengukuhkan keadaan geografi pulau di tengah sungai ini. Pulau Nami berkeluasan 460000 meter persegi dengan ukur lilit 5 km dipenuhi dengan flora dan fauna. Padang rumput dan taman pokok cherry, dan pokok ginko, tupai melompat dan burung unta pengintai di celah pokok, semuanya indah, harmoni dan menenangkan jiwa.

kore37

kore38

Seperi di Namsan Seoul Tower, ramai pengunjung mengabadikan catatan-catan untuk digantung di ruang khas yang disediakan. Anak-anak aku pun turut mengantungkan juga catatan-catatan mereka di pulau tersebut. Keindahan Pulau Nami ialah suasana 4 musimnya. Ini bermakna kunjungan kita tidak akan pernah sama pada setiap musim yang berbeza. Kunjungan kami kali ini adalah dalam musim sejuk, jadi persekitarannya sangat sejuk dan kelihatan warna keputihan. Sungai-sungai sudah membeku dan kita boleh berjalan di atas permukaan sungai. Di bahagian-bahagian tertentu petugas di pulau itu membakar tingkol-tongkol kayu untuk pengunjung memanaskan badan di sekililingnya. Di Pulau Nami ini, para artis dari seluruh dunia menghimpunkan karya-karya mereka dan berkongsi rasa damai yang diterjemahkan dari keunikan pulau ini. Pameran seni visual juga diadakan di dalam galeri yang disediakan. Pulau ini juga merupakan tempat berlangsungnya acara-acara kebudayaan yang diadakan setiap minggu, menjadikannya daya penarik bagi pelancongan kebudayaan dan artistik di Korea ini. Di sini terdapat beberapa model bangunan tradisi korea, restoran halal dan tempat solat yang selesa. Setelah puas mengelilngi pulau, mengambil gambar, bermain salji, menjamu selera di restoran makanan halal, melawat galeri dan solat kami pun bersiap-siap untuk berangkat pulang ke Namsan.

kore41

kore35

kore39

kore39

Di sekitar Pulau Nami

Sebelum pulang ke tempat penginapan singgah ke Namdemun untuk bershooping. Antara barangan yang boleh di bawak pulang untuk adik beradik ialah chopstick dan garfu serta sudu korea. Anak aku banyak beli stokin yang ada gambar-gambar kartun untuk kawan-kawan dia. Antara makanan yang selalu orang Malaysia bawa balik ialah Kklutarae merupakan sejenis makanan tradisional Korea yang boleh didapati dijual di tepi-tepi jalan. Ketika di Myeondong Market, penjual memanggil kami untuk melihat sendiri bagaimana Kkultarae ini dibuat. Ada logo halal lagi dan ada gambar-gambar orang Malaysia yang membeli dengan beliau. Ianya dibuat menggunakan madu yang keras yang kemudiannya ditarik panjang dan dilipat sehingga menjadi 16,384 helai benang halus. Kemudian di masukkan inti sebelum digulung. Antara pilihan intinya ialah almond, walnut, peanut, black sesame seeds, chocolate, dan jugak kacang hitam. Rasanya sangat sedap dan tidak begitu manis. Kami ditawarkan untuk membeli 25 kotak dengan harga 18,000 won. Makanan ini sesuai untuk dibawa pulang ke Malaysia sebagai buah tangan. Namun agak malang apabila sampai di rumah hampir semua Kklutrae ni telah berubah bentuk dan tidak gebu seperti asal. Baru aku teringat semasa di guesthouse di Korea kami letak kotak-kotak tu di atas lantai yang ada pemanas. Madu bila letak ditempat panas ia pun mencair dan mengecut...tak jadilah nak bagi kepada adik beradik dan kawan-kawan.

kkk

Hari ke enam, 9.00 pagi dari tempat penginapan ke Myeongdong dan setrusnya ke Deoksugung Palace. Istana lama ni terletak di hadapan City Hall Building. City Hall ni kalau di Malaysia macam Dataran Merdeka tempat orang berkumpul dan ambik gambar. Sampai dalam jam 10.30 pagi, pengunjung pun tak berapa ramai lagi. Di depan istana tu terdapat gendang besar dan tersergam pintu gerbang seperti istana-istana lama di Beajing dan dikawal oleh askar-askar yang memakai pakaian dan senjata zaman dahulu. Kawasan istana ni tak seberapa besar mana pun. Di kanan kiri terdapat bangunan-bangunan morden ala barat. Sarah kata biasanya orang melawat ke istana ini ialah untuk melihat perbarisan dan istiadat pertukaran pengawal istana. Waktunya ialah jam 11.00 pagi, 2.00 petang ataupun 3.30 petang. Di hadapan istana ini ada booth yang menyediakan baju traditional istana (hanbok). Kita boleh pinjam dan mengayakannya kalau tidak malu..Tak perlu bayar...free dan penjaga di situ bersedia untuk membantu dan memberi penerangan cara memakainya dengan betul. Apa lagi, kami pun cubalah....berposing sakan depan istana tu. Kalau nak bergambar di sebelah askar yang sedang berkawal tu pun boleh... Tepat jam 11.00 pagi perbarisan pun bermula. Kami sangat sangat teruja dan tak henti-henti ambil gambaq.

kore41

kore43

Di sekitar Deoksugung Palace

Selesai upacara perbarisan kami pun masuk ke dalam kawasan dalam pagar istana. Istana Deoksugung terkenal dengan jalan batu-batu yang elegan. Ia juga merupakan satu-satunya istana yang terletak bersebelahan dengan beberapa bangunan gaya barat yang menambah keunikan pemandangan sekitarnya. Istana Deoksugung pada mulanya dimiliki oleh Wolsandaegun (1454-1488), adik lelaki Raja Seongjong (1469-1494) dari Dinasti Joseon. Gwanghaegun (1575-1641) naik takhta dan memberikan kediaman diraja itu nama Istana Deoksugung, bermaksud "istana panjang umur yang mulia". Apabila memasuki Istana Deoksugung melalui Daehanmun Gate, pelawat akan menyeberangi jambatan lebar Geumcheon Stream. Kereta raja akan melalui jambatan ini pada zaman purba. Bangunan undang-undang Junghwajeon Hall sangat megah, mendedahkan sejarahnya yang panjang. Dewan Jeonggwanheon adalah bangunan bergaya Barat yang pertama yang dibina di istana, yang siap pada tahun 1900. Dewan Junghwajeon adalah pusat politik semasa Kekaisaran Korea dan menjadi latar belakang perbincangan kritikal mengenai hal ehwal negara di kalangan pemimpin negara. Lebih kurang sejam kami meronda sekitar istana lama tersebut sambil mencuba pelbagai permainan tradisional yang disediakan.

kore43

kore46

kore48

Di sekitar Istana Deoksugung

Keluar dari istana lama kami pun berjalan-jalan di sekitar City Hall untuk melihat-lihat susan bandar metropolitan sambil mencari tempat yang menyediakan makanan halal. Akhirnya kami menemui Restoran Kebab Turky yang menyediakan makanan halal untuk kami mengisi perut yang sudah mulai berkeroncong. Malam duduk ditempat penginapan dan berkemas-kemas untuk perjalan pulang ke Incheon International Airport pada esok pagi. tiket teksi telah pun ditempah awal dengan harapan jika sampai awal boleh lagi berjalan-jalan di sekitar Incheon.

Hari ke tujuh, seawal 10.00 pagi kami sudah mula meninggalkan bandar Namsan menuju ke Incheon dengan menaiki teksi. Malangnya perjalanan sangat lambat kerana trafik jem. Sampai sahaja di airport kami terkejar-kejar. Makan semua bekal yang ada untuk mengurangkan berat beg. Selepas tu cari tempat solat...punyalah jauh. Bila sampai rupa-rupanya bilik tersebut adalah ruang sembahyang untuk semua agama. Namun yang memnuhinya adalah orang Islam untuk mengerjakan solat.

kore49

Bersedia untuk pulang ke Kuala Lumpur

Alhamdulillah selamat memasuki perut Air Asia pada waktunya dan berlepasi ke Kuala Lumpur pada jam 4.15 petang. Sampai di KLIA2 jam 11.00 malam dan sangat keletihan. Singga berehat di Hotel Tabung Haji.


 

 

Namsan Guesthouse 4