Hidupkan
Surau Kita Dengan Pelbagai Aktiviti
Kenapa
ramai umat Islam yang masih jauh dari surau dan masjid? Pertanyaan
ini untuk mengingatkan diri saya dan anda semua. Dalam sebuah
taman yang jumlah rumah dihuni oleh keluarga Islam lebih daripada
600 buah, tetapi yang datang untuk solat berjamaah di surau
pada waktu maghrib dan isya' tidak lebih daripada 20 orang
(lebih kurang 3%) sahaja). Inilah yang sering dibincangkan
sesama ajk dan jamaah lain di tangga surau selepas solat isya'
di surau tersebut. Mungkinkah suasana surau tidak menarik?.
Untuk
melihat amalan agama di dalam sesebuah masyarakat Islam kita
boleh lihat melalui solat berjamaah di tempat tersebut.
Ada sebahagian ahli kariah yang sudah berada di hadapan surau
ketika azan dilaungkan, tetapi kenapa sangat berat untuk berhenti
sebentar menunaikan solat secara berjamaah. Bagaimana nak
tarik lebih ramai ahli-ahli kariah untuk meramaikan surau?
Inilah pertanyaan yang sering diucapkan oleh mereka yang diamanahkan
untuk menguruskan surau atau masjid.
Berikut
adalah pengalaman usaha sebuah surau yang telah berusaha untuk
menarik ahli kariah untuk sama-sama memakmurkan surau. Manusia
hanya mampu berusaha yang memberi hidayah ialah Allah SWT.
Antara langkah yang telah diambil ialah;
1.
Memperbanyakkan majlis ilmu, kuliah dan ceramah. Peringkat
awal agak bermasalah kerana faktor kewangan. Sesekali jemput
penceramah yang telah dikenali. Yakinlah semakin banyak kuliah
dijalankan semakin mencurah sumbangan yang akan diterima oleh
pihak surau bagi melaksanakan program-program yang dirancang.
Bila ramai yang hadir, bolehlah diedarkan tabung infak. Insya'Allah
sebenarnya ramai yang nak memberi sumbangan kepada surau.
2.
Merancang program yang memberi impak yang besar. Antaranya
ialah seperti Karnival Astronomi, Karnival Ekonomi, dan seumpamanya
yang melibatkan banyak agensi dan institusi. Program ini djalankan
sekurang-kurangnya dua hari. Antara pengisian ialah pameran,
jualan, khidmat kesihatan, pertandingan untuk golongan wanita,
remaja dan kanak. Melalui program seperti ini kita boleh mendapatkan
kerjasama dari pihak-pihak lain secara percuma. Disamping
itu kita boleh dapatkan tajaan dari institusi seperti bank,
pusat urus zakat, koperat dan sebagainya. Antara program lain
ialah yang boleh difikirkan ialah perkhemahan remaja, kem
motivasi untuk kanak-kanak sekolah, dan sebagainya. Pihak
surau boleh menyewa khemah dan didirikan di sekitar surau.
Pelbagai aktiviti boleh diisi sepanjang kem tersebut antaranya,
masakan surival, amali penyembelihan, pertandingan oreintering,
kesempurnaan solat, qimulail dan sebagainya.
3.
Promosi perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh melalui
banner, flyers, sms, website/webblog, facebook dan sebagainya.
Boleh juga hebahan dilakukan menggunakan speaker ke sekeliling
taman dengan menggunakan kenderaan. Kalau pesta, karnival
boleh menggunakan cara tersebut kenapa surau tak boleh lakukan.
Kalau perlu kenderaan yang digunakan dihias dengan maklumat-maklumat
yang boleh menarik orang ramai hadir ke surau.
4.
SMS adalah antara medium yang sangat berkesan untuk mengajak
penduduk menghadiri program surau, kerana ia adalah cepat
dan terus kepada sasaran.Namun kos yang diperlukan agak tinggi.
AJK perlu menyediakan pangkalan data maklumat penduduk terlebih
dahulu. Insya'Allah akan ramai yang hadir apabila usaha gigih
telah dilakukan. .
5.
Anjurkan gotong royong memasak kenduri pada hari-hari tertentu
atau sempena ceramah, gotong royong membersihkan surau dan
sebagainya. Ada antara ahli kariah yang suka dengan aktiviti
kenduri kendara, Melalui aktiviti seperti kenduri, majlis
berbuka puasa, korban, dan seumpamanya ahli kariah akan mula
datang ke surau dan hampir dengan aktiviti surau. Walaupun
masih tak masuk ke ruang solat tetapi sekurang-kurangnya dapat
mendengar ceramah dan maklumat-maklumat yang disampaikan sambil
menjalankan aktiviti memasak. Satu masa mungkin mereka akan
sama-sama di ruang solat.
6.
Jadikanlah surau tempat yang menarik untuk dikunjungi. Pastikan
kebersihan dijaga, termasuk tandas dan sekitar surau dengan
selalu mengadakan program gotong-royong. Dapatkan kemudahan
penapis air bersih dan pasang dengan kekal disurau. Penduduk
sekitar boleh mengambil air bersih untuk diminum atau di bawa
pulang ke rumah. Hanya perlu sediakan tabung di sebelah alat
penapis air tersebut. Mungkin ada yang mengambil air bersih
sambil memberi sumbangan kepada surau.
7.
Kenalpasti para ustaz yang tinggal di sekitar taman dan libatkan
untuk turut sama memakmurkan surau. Ada setengah mereka tidak
mahu menonjolkan diri tetapi jika diberi peluang mereka akan
bersedia untuk menyumbang. Kenalpasti juga kebolehan ahli
kariah, kerana setiap orang mempunyai kebolehan yang boleh
menyumbang untuk turut sama memakmurkan surau. Di taman pasti
ada yang mempunyai kebolehan dalam bidang elektrik, tukang
kayu, PA system, tukang paip, tukang cat, kontraktor, dan
sebagainya.
8.
Mengadakan Program ziarah. Jika mendengar ada anak-anak qariah
yang ditimpa masalah seperti sakit, kematian, bencana dan
sebagainya. Orang surau harus dengan pantas datang menziarahi
sama ada di rumah atau di hospital dengan memberikan rasa
kebersamaan. sidikit sumbangan seperti kewangan dan sebagainya.
Insya'Allah melalui program ziarah yang telah dilakukan, menampakkan
kesan yang sangat baik. Selepas itu sadara yang pernah kita
ziarah akan menjadi ahli jamaah surau yang sangat istiqamah.
Malah kadang kala lebih rajin daripada kita.
9.
Peranan golongan yang telah bersara sangat penting. Jadikan
surau tempat golongan bersara memanfaatkan masa mereka. Golongan
ini sangat besar peranannya dalam menghidupkan solat berjamaah
lima waktu. Jika hati mereka sudah terpaut dengan surau, insya'Allah
mereka akan istiqamah solat 5 waktu berjamaah. Selepas solat
mereka akan bersembang-sembang dan sekali-sekala buatlah kenduri.
Contohnya selepas kuliah subuh pakat-pakat sesama ahli jamaah
adakan sarapan pagi dengan roti banggali cicah kari, buat
nasi lemak dan sebagainya. Ini dapat merapatkan lagi hubungan
sesama ahli jamaah.
Alhamdulillah
selepas dua tahun nampaknya jamaah surau bertambah ramai.
Solat lima waktu berjamaah dapat diadakan. dan akhirnya surau
telah diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat. Jamaah
solat jumaat melimpah sehingga ke luar pagar dan terpaksa
di pasang khemah. Sumbangan berbentuk infak dan wakaf dari
para jamaah dan orang ramai tidak putus-putus. Alhamdulillah
baru-baru ni seorang hamba Allah telah memasukkan sejumlah
RM 6,000. ke dalam akaun surau. Sebelum ni juga telah banyak
sumbangan pembangunan surau telah di berikan oleh masyarakat
sekeliling sama ada secara terang atau tanpa memperkenalkan
diri. Semoga surau
Al-Muttaqin terus makmur.
sajap@sajadstudio.info - sentiasa bersyukor dan sujud
kepada Allah Yang Maha Esa..