Mulianya Orang yang Menuntut
Ilmu
Pada suatu pagi yang dingin
selepas solat subuh berjamaah di dewan masjid saya dan rakan-rakan
yang tinggal di pondok Al-Madrasah Al-Samsudiniah
bergegas ke belakang dewan solat untuk mengangkat meja dan
menyusunnya di bahagian hadapan betul-betul bersetentang dengan
mihrab. Kami akan duduk bersila dan meletakkan kitab di atas
meja panjang Satu meja panjang itu biasanya dikongsi oleh
lima orang pelajar. Seperti selalunya di situlah tempat kami
pelajar-pelajar pondok dan pelajar-pelajar tua yang datang
dari sekitar madrasah menadah kitab-kitab kuning yang dikarang
oleh para ulama' silam. Antaranya ialah Fathul Mu'in, Riadus
Solihin, Tafsir Jalall'in, Ta'alim Fil Toriqi al Ta'alum dan
lain-lain lagi. Di sini Pak Kiayai, (iaitu gelaran untuk seorang
guru yang hebat dan mempunyai ilmu agama yang sangat mendalam)
mengajarkan kitab-kitab tersebut kepada para muridnya. Disamping
ilmu agama yang sangat mendalam Pak Kiayai juga seorang yang
sangat kuat dalam beramal ibadat serta ikhlas menyampaikan
ilmu tanpa mengharapkan apa-apa bayaran atau upah. Segala
keikhlasan dan ketakwaannya terpancar melalui wajahnya yang
berseri-seri serta tutur katanya yang penuh dengan hikmah.
Pagi itu Pak Kiyai membaca
serta mensyarahkan kitab Tafsir Jalall'in sementara kami para
pelajar menyemak serta membuat catatan di bahagian tepi-tepi
lembaran kitab. Pagi tu saya rasa sangat mengantuk yang tidak
terperi-peri. Saya cuba sedaya upaya untuk membuka kelopak
mata tetapi akhirnya saya tertidur juga dengan melatakkan
kepala di atas meja di tepi kitab yang sedang disemak dengan
nyenyak sekali. Tiba-tiba saya tersedar dan suasana sudah
cerah dan sangat hening. Apabila saya membuka mata rupa-rupanya
tinggal saya seorang. Semua meja sudah diangkat ke belakang
dewan solat kecuali meja tempat saya tertidur. Semua rakan-rakan
sudah kembali ke pondok meneruskan aktiviti masing-masing.
Apabila saya memendang ke hadapan kelihatan Pak Kiyai tersenyem
memandang ke arah saya. Sambil membuka jubah luar yang panjang
dan menyankutkannya di sebelah mimbar beliau terus berkata
dengan perlahan ke arah saya yang masa tu masih terkulat-kulat
malu dan agak segan. " Tak apalah nak......(anak panggilan
untuk murid-muridnya).....orang yang temankan orang belajar
pun dapat pahala juga....Pelajaran daripada peristiwa itu
ialah walaupun tertidur dan tidak dapat apa yang disampaikan
oleh guru namun kesungguhan untuk menuntut ilmu pun sudah
dinilai oleh Allah dan Insya'Allah dikurniakan pahala.
Peristiwa tersebut telah berlalu
lebih dua puloh tahun yang lalu. Ketika itu saya masih bujang
dan ketika cuti samester biasanya saya akan menghabiskan cuti
tersebut pergi ke Al-Madrasah untuk turut serta pelajar-pelajar
di situ membaca kitab. Kini saya juga ditakdirkan menjadi
seorang guru. Sepanjang ingatan, saya tidak pernah mengejutkan
atau memarahi pelajar-pelajar saya yang tertidur di dalam
kelas. kerana apa yang ditunjukkan oleh Pak Kiyai masih segar
dalam ingatan. Mungkin waktu ini pelajar-pelajar kita tertidur
di dalam kelas, mudah-mudahan dengan kerajinannya pergi ke
ke kelas pengajian akhirnya ia akan berjaya juga. Tentunya
pelajar yang tidur di dalam kelas adalah jauh lebih baik daripada
pelajar-pelajar lain yang selalu ponteng kelas atau melawan
gurunya.
"Barang siapa yang
berjalan pada satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan
menunjukkan kepadanya satu jalan ke syurga" - Maksud
Hadith