Istiqamah
dalam Beribadah
Mudah-mudahanan
melalui perbincangan dan peringatan yang dirujuk daripada
panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasululullah SAW ianya
bermanfaat kepada diri saya dan tuan-tuan di dalam menjalani
kehidupan di dunia yang sementara ini. Kehidupan yang sebenar
ialah kehidupan akhirat yang kekal dan abadi.
Kali
ini kita akan membincangkan tentang Istiqomah di dalam beribadah.
Sebelum itu saya ingin berkongsi pengalaman yang telah diceritakan
kepada saya oleh seorang pendaki yang baru kembali dari aktiviti
mendaki di Gunung Kinabalu. Menurut beliau antara syarat untuk
sampai ke puncak ialah kita perlu konsisten sewaktu bergerak,
jangan terlalu pantas dan terburu.buru. Pergerakan atau langkah-langkah
kita perlu dilakukan dengan sederhana dan yang penting konsisten.
Ramai pendaki amatur yang bersemangat tinggi akan memecut
dan bergerak dengan laju dan pantas terutama di awal pendakian
kerana semangatnya pada waktu itu sangat tinggi. Biasanya
mereka yang menggunakan strategi ini akan tewas dan tidak
sampai ke puncak kerana mereka akan cepat letih dan akhirnya
tidak sanggup untuk meneruskan pendakian. Moralnya ialah dalam
melakukan sesuatu perkara seperti belajar, berniaga, berkebun,
dan sebagainya, kita perlu mengukur kemampuan diri kita serta
ianya perlu dilakukan secara berterusan walaupun sedikit demi
sedikit. Jangan terlalu ingin cepat dapat keuntungan yang
banyak tetapi akhirnya tidak diperolehi apa yang diimpikan.
Tuan-tuan
yang dirahmati oleh Allah SWT, di dalam beramal beribadah
pun Rasulullah SAW menganjurkan supaya kita melakukan amal
ibadah mengikut kemampuan kita dan yang penting ianya hendaklah
dilakukan secara berterusan (istiqomah) walaupun sedikit.
Ini ialah kerana setiap orang berbeza-beza dari segi kemampuan
fizikal dan mental. Ada orang muda, tua, kanak-kanak, sihat,
cacat, ramai tanggungan dan sebagainya. Kita jangan melakukan
amal ibadah dengan tamak dan berdasarkan semangat semata-mata
kerana kemungkinan kita melihat ada orang lain yang mampu
melakukannya. Kemungkinan Allah mengurniakan kelapangan dan
kemampuan yang luar biasa kepada mereka itu. Kerana jika terlalu
memaksa diri kita untuk beramal ibadah terutama dalam perkara
yang sunat yang sebenarnya tidak mampu kita lakukan, mungkin
akhirnya kita akan tewas atau merasa bosan sebelum sampai
ke penghujung hidup ini. Makanan yang sangat lazat pun kalau
kita makan sehingga berlebih-lebihan boleh menyebabkan kita
termuntah dan akhirnya kita sudah tidak teringin lagi kepada
makanan tersebut.
Daripada
Aisyah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai
manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya
Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai
ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Menurut 'Aun al-Ma'bud, Allah tidak jemu memberikan
ganjaran sesuatu amalan selagi seseorang tidak jemu beramal
Daripada
Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda
yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa
yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama.
Sesuatu
ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak
syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan
oleh agama’ ialah ibadah hingga lupa menguruskan keperluan
diri seperti mencari nafkah dan menyara ahli keluarga. Perkara
itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam
menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan
yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk
bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat.
Begitu
juga sebaliknya kita dilarang terlalu mengejar kehidupan dunia
sehingga mengabaikan amal ibadah yang yang diperintahkan oleh
Allah SWT, seperti solat berjamaah, mempelajari ilmu-ilmu
Islam, membaca al-Quran dan sebagainya. Oleh itu, kita mestilah
bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya
tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya
semua perkerjaan dan amalan yang kita lakukan di dunia ini
akan dikira sebagai ibadah yang memberi pelbagai kebaikan
dan kenikmatan yang sudah dapat kita rasai dalam kehidupan
di dunia dan di akhirat nanti Insya’Allah
Rasulullah juga pernah bersabda,
"
Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau
mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana
akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan
Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”
- (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu
juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar,
dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa yang
disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti
dengan hati penuh ikhlas.
Sebagai
pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan
ketaatan kepada Allah. Sebagai contoh apabila memberi tazkirah,
ceramah atau khutbah ianya disampaikan terlalu panjang berjela-jela
sehingga melebihi waktu yang sepatutnya yang telah ditetapkan
oleh pihak surau atau masjid juga boleh menimbulkan kesan
yang kurang baik. Walaupun peringatan tersebut dipenuhi dengan
pelbagai maklumat dan ajaran yang baik tetapi kalau terlalu
panjang dan banyak perkara yang ingin disampaikan mungkin
tumpuan orang ramai serta rasa ikhlas terhadap ajaran yang
disampaikan akan hilang begitu sahaja. Contoh yang lain ketika
menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu
lama (panjang) kerana mungkin makmum yang ada dibelakangnya
terdiri daripada mereka yang lemah, sakit atau ada urusan
penting yang perlu diselesaikan. Jika waktu subuh atau jumaat
lewat ramai makmum yang perlu segera ke tempat kerja. Maka
sebaik-baiknya perlulah solat dan khutbah dipercepatkan.
sajap@sajadstudio.info - sentiasa bersyukor dan sujud
kepada Allah Yang Maha Esa..