Jom Solat Berjamaah

Kenapa ramai umat Islam yang masih meremehkan solat berjamaah? Pertanyaan ini untuk mengingatkan diri saya dan anda semua.

Agak malang kerana masih ramai umat Islam masih meremehkan solat berjamaah atas alasan bahawa ianya adalah sekadar fardhu kifayah. Di taman perumahan, di tempat kerja, di pusat membeli belah, di pasar malam jika dibandingkan dengan bilangan umat Islam yang ada, yang hadir untuk menunaikan solat berjamaah bila masuk waktunya masih sangat-sangat rendah.

Mungkin anda juga pernah menunaikan solat di surau yang disediakan di pusat membeli belah. Ketika itu ada sebahagian yang hadir bersolat secara berjamaah, tetapi ada juga orang yang sengaja solat bersendirian di tepi, di belakang dan dihujung-hujung. Kenapa mereka tak mahu solat berjamaah....

Terdapat ayat al-quran dan hadis-hadis yang memerintahkan solat berjamaah.
Bukan sahaja semasa aman malah semasa perang dan musafir.

“ Dirikanlah solat, tunaikan zakat dan ruku’lah beserta orang-orang yang ruku’( Al Baqarah : 43)

Surah An-Nisa' ayat 102 di bawah adalah menerangkan dengan jelas bagaimana menunaikan solat berjamaah dalam suasana peperangan;

”Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (shahabatmu) lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka ( yang solat besertamu ) sujud ( telah menyempurnakan serakaat ), maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu ( untuk menghadapi musuh ) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum solat , lalu bersolatlah mereka denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata …” ( An Nisaa’ : 102)

Berdasarkan ayat di atas Allah mewajibkan kaum muslimin untuk mengerjakan solat berjamaah dalam keadaan perang. Persoalannya kita sekarang berada dalam suasana aman dan damai. Kita diberikan dengan pelbagai kemudahan, ada surau dan masjid di mana-mana. Hampir setiap taman perumahan disediakan surau atau masjid. Ada basikal, motosikal dan kereta yang bagus, tetapi kenapa susah nak pergi solat berjamaah. Jika seorang muslim diperbolehkan meninggalkan solat berjamaah (oleh Allah ), tentu kaum muslimin lain yang tengah berbaris menghadapi serangan musuh dan yang paling terancam dibolehkan meninggalkan solat berjamaah. Tetapi di dalam ayat di atas perintah Allah tidaklah demikian. Dari sini kita dapat mengetahui bahwa solat berjamaah merupakan kewajiban utama. Oleh karenanya tidak dibenarkan seorang muslim meninggalkan kewajiban tersebut.

Di antara bukti keimanan seseorang dapat dilihat dan disaksikan melalui solat berjamaah. Sekiranya kita ingin mencari sahabat-sahabat yang benar-benar beriman ialah dengan mencarinya di surau atau di masjid setiap kali waktu solat. Bila kita pergi atau berpindah ke kawasan baru, tempat yang pertama perlu kita cari ialah surau atau masjid. Di sana akan kita temu teman-teman yang baik insya'Allah.

Sabda Nabi s.a.w bersabda, "Bila kamu melihat lelaki yang melazimkan berulang-alik ke masjid, maka Islamlah dia (ada iman dalam hatinya). Riwayat dari Abi Sa’id Al-Khudri)

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang………(At-Taubah [18]

Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum solat berjamaah:
1. Sunat mu’akkad – Mazhab Hanafi dan Maliki.
2. Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) - Ulama’ Hanbali.
3. Fardu kifayah - Pendapat mazhab Syafi’i.

Solat jamaah di masjid adalah merupakan satu syiar Islam yang agung. Samada ianya dikira sebagai sunat mu'akad, fardhu kifayah atau fardhu ‘ain. Para ulama’ Islam telah sepakat bahawa menunaikan solat lima waktu di masjid adalah merupakan ketaatan yang dituntut dan penghampiran diri kepada Allah swt yang sangat besar.

Rasulullah saw mahu membakar rumah orang yang tidak bersolat jamaah. Syaitan akan menguasai ke atas kumpulan tiga orang yang tidak mendirikan solat jamaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian". (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa'i).

Antara hikmah diperintahkan untuk solat berjamaah ialah ganjarannya 27 kali ganda berbanding pahala solat bersendirian. Orang yang panjang usianya adalah orang yang terbanyak amalannya. Melalui solat jamaah adalah antara peluang seorang muslim memperbanyakan amalan sebagai bekalan untuk kehidupan yang abadi di akhirat nanti. Rasulullah s.a.w bersabda: "Ganjaran pahala semabahyang berjemaah itu melebihi dari sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat".

Umat Islam sewajarnya memahami bahawa apapun aktiviti dan rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti. Sabda rasulullah s.a.w maksudnya,
"Gembirakanlah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti". (riwayat Abu Daud dan at-Tirmi

Meninggalkan solat jamaah adalah salah satu tanda-tanda orang munafiq. Kata Abdullah bin Mas’ud ra: “Kami dapati tidak ada orang yang cuai atau tidak datang untuk bersolat jamaah di masjid kecuali beliau ialah seorang yang telah dikenal pasti sebagai seorang munafiq ataupun orang sakit. Jika orang sakit dia akan dipimpin oleh dua orang sehingga sampai ke tempat solat.”

Katanya lagi: “Nabi saw telah mengajar kami sunnahnya sebagai petunjuk, dan di antara sunnahnya ialah solat jamaah di masjid yang dilaungkan azan padanya.” [HR Muslim: 654].

Mudahan maksud ayat-ayatal-Quran dan hadis-hadis di atas sentiasa mengingatkan diri saya dan kita semua untuk terus istiqamah mengerjakan solat berjamaah sehingga akhir hayat, walau di mana kita berada. Hanya perlu mengorbankan sedikit masa dan tenaga tetapi ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT sangat tinggi. Bayangkang hanya dengan sembahyang berjamaah 2 kali ganjarannya lebih banyak daripada orang yang bersembahyang seorang diri selama sebulan. Bayangkan kalau sembahyang berjamaah sebulan berapa tahun sembahyang sendirian untuk menyamai ganjarannya. Namun demikian kita akan terus solat berjamaah kerana ia adalah satu perintah Allah dan telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan dan sebagai syiar dalam masyarakat Islam.

Kadang-kadang kerana untuk menyelesaikan kerja kita telah melewatkan solat dan tidak dapat berjamaah. Ingatlah selagi hidup kerja tak akan habis. Tinggalkan sekejap kerja untuk sama-sama solat berjamaah. Jom solat berjamaah......

sajap@sajadstudio.info - sentiasa bersyukor dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa..